Sindiket didalangi warga Indonesia tumpas, polis rampas dadah RM341,000

21 Nov 2023 • 9:42 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Bungkusan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium pada Jumaat lalu. Gambar kecil: Allaudeen

image is not available
Kenderaan suspek yang dirampas bagi membantu siasatan.

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah didalangi seorang lelaki warga Indonesia dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang di sini, Jumaat lalu dan merampas dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM341,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, serbuan dijalankan pada jam 7.20 malam itu, polis turut menahan lima individu termasuk seorang wanita warga tempatan berusia 26 hingga 46 tahun yang berperanan sebagai ahli sindiket.

"Kita merampas 10 bungkusan dadah jenis syabu anggaran berat 10 kilogram, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dan Perodua Alza serta sebuah kereta Toyota Vios," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Allaudeen berkata, sindiket pengedaran dadah itu dikesan bergerak aktif sejak dua bulan lalu di sekitar Kuala Lumpur.

"Modus operandi mereka adalah dengan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan yang diterima," katanya.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati kesemua suspek warga tempatan mempunyai rekod lampau berkaitan kes narkotik dan jenayah.

"Saringan awal urin mendapati kesemua suspek itu positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Allaudeen berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan punca bekalan dadah diperoleh.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved