Sindiket edar arak guna lori sampah tumpas, rampasan lebih RM1 juta

24 Jul 2026 • 3:41 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sindiket edar arak guna lori sampah tumpas, rampasan lebih RM1 juta

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket pengedaran minuman keras tanpa cukai yang menggunakan lori sampah sebagai kenderaan utama penghantaran dalam dua serbuan di sekitar Kajang, Selangor, Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam serbuan pada 4.30 petang itu, dua lelaki berusia 42 dan 62 tahun ditahan manakala rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

Beliau berkata siasatan turut mendapati sindiket itu menggunakan sebuah premis stor sebagai tempat penyimpanan minuman keras terbabit.

"Modus operandi sindiket ini ialah menggunakan sebuah lori sampah sebagai pengangkutan utama untuk mengedar dan menghantar minuman keras tanpa cukai kepada pelanggan.

"Ini kali pertama pihak berkuasa mengesan penggunaan modus operandi sedemikian, sekali gus memperlihatkan taktik baharu digunakan bagi mengaburi kegiatan jenayah ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata pihaknya turut merampas sebuah lori Isuzu satu tan, sebuah kereta Toyota Altis, 33,264 tin minuman keras pelbagai jenis serta tiga telefon bimbit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, PGA merampas minuman keras tanpa cukai bernilai RM14.5 juta membabitkan 82 kes dengan 87 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan jenayah berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved