Sindiket kereta sewa haram di KLIA masuk 'jerat' polis

LocalCars
4 Nov 2024 • 4:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara individu yang ditahan menerusi Op Teksi Haram di KLIA Terminal 1, Sepang, Jumaat lalu. Gambar kecil: Mohd Yusri

image is not available
Sindiket kereta sewa haram atau 'ulat' yang aktif di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 berjaya dilumpuhkan.

image is not available
JSPT Bukit Aman mengesan kegiatan khidmat teksi haram atau ulat di KLIA Terminal 1, Sepang, Jumaat lepas.

image is not available
Kegiatan khidmat teksi haram atau ulat beroperasi di KLIA Terminal 1, Sepang, Jumaat lepas.

SEPANG - Sindiket kereta sewa haram atau 'ulat' yang aktif di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 berjaya dilumpuhkan selepas lima individu diberkas polis, Jumaat lalu.

Op Teksi Haram bermula jam 10.30 pagi itu dijalankan sepasukan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 33 hingga 60 tahun.

Katanya, risikan mendapati 'ulat' ini akan berlegar di kawasan menunggu Balai Ketibaan KLIA untuk mendapatkan pelanggan.

"Mereka akan cuba memujuk serta menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram kepada pelanggan sebelum membawa pelanggan menaiki kenderaan yang berada di kawasan parkir Terminal 1.

"Siasatan juga mendapati kegiatan sindiket ini dipercayai turut melibatkan suspek yang bekerja sebagai penjaga kaunter perkhidmatan pengangkutan di lokasi terbabit," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kenderaan jenis Perodua Aruz, Alza dan Toyota Innova telah disita untuk tindakan lanjut.

Tambah Mohd Yusri, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA untuk siasatan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Jelasnya, operasi ini dilaksanakan bertujuan untuk membanteras kegiatan teksi haram dan ulat teksi yang semakin berleluasa di sekitar kawasan tersebut.

"Aktiviti ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan pemandu teksi berlesen, tetapi juga membahayakan keselamatan penumpang," ujarnya.

Dalam operasi yang sama, JSPT Bukit Aman turut menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 yang memiliki rekod dikehendaki bersangkut kes Keningau.