
PUTRAJAYA: Mengubah suai pasport yang dipalsukan bagi membolehkan ia digunakan semasa proses saringan kesihatan.
Itu modus operandi yang digunakan sindiket memalsukan dokumen warga asing berada di sekitar Lembah Klang yang ingin menjalani saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing (FOMEMA) tetapi tidak melepasi pemeriksaan atau berstatus tidak layak.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban sindiket itu akan memalsukan pasport yang dipinda atau diubahsuai bagi membolehkan ia digunakan semasa proses saringan kesihatan.
Katanya, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM80 hingga RM130 bagi setiap naskhah pasport.
Beliau berkata, pihaknya menjalankan satu Operasi Khas semalam di sebuah kediaman di Taman Sri Kuching dan Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Indonesia dipercayai sebagai dalang utama sindiket itu.
“Turut ditahan masing-masing seorang lelaki dan Perempuan warganegara Indonesia dipercayai sebagai ‘ahli sindiket berumur antara 30 hingga 50 tahun.
“Semakan awal mendapati, dalang utama yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS Sektor Pembinaan) dan warga asing yang lain telah tinggal lebih masa,” katanya.
Zakaria berkata, pasukan operasi telah menyita 119 naskhah pasport yang dipercayai palsu terdiri daripada 85 naskhah pasport Indonesia, pasport Bangladesh (tujuh), pasport Myanmar (22), masing-masing dua pasport Vietnam dan India serta satu naskhah pasport Nepal.
Katanya, turut disita mesin pencetak, telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM1,500 dipercayai hasil dari kegiatan ini.
Jelasnya, ini merupakan tangkapan kali kelima membabitkan sindiket yang menggunakan modus operandi sama dan sindiket ini telah beroperasi sejak awal tahun.
“Dalang utama ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Sek.12(1)(f) Akta Imigresen 1959/63 dan warga asing yang lain ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah di bawah Sek.6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN
The post Sindiket palsu dokumen tumpas, 119 pasport disita appeared first on Utusan Malaysia.

