
Sekumpulan warga asing yang dipercayai menjadi dalang sindiket pengurup wang haram berjaya ditumpaskan dalam satu operasi khas Jabatan Imigresen (JIM) di sekitar ibu kota baru-baru ini, lapor Kosmo!.
Menurut Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, tiga kedai yang menjual peralatan telefon, elektronik dan kios agensi pelancongan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti itu telah diserbu dalam operasi tersebut.
“Dalam operasi tersebut, seramai enam lelaki warga asing berusia lingkungan 26 hingga 40 tahun yang merupakan pekerja serta penjaga premis terbabit berjaya diberkas.
“Salah seorang yang ditahan merupakan dalang utama sindiket iaitu suspek lelaki warga Bangladesh berusia 36 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” jelasnya dalam satu kenyataan menerusi Kosmo!.
Memetik laporan Kosmo!, wang tunai sebanyak RM44,035 yang dipercayai hasil kegiatan pengurup wang haram tersebut dan 15 keping pasport disyaki untuk aktiviti ejen pekerja asing turut dirampas, maklum Dzaimee.
“Kesemua yang ditahan kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.
“Mereka telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih bagi tindakan selanjutnya,” jelasnya lapor Kosmo!.
Sumber: Kosmo!
The post Sindiket Pengurup Wang Haram Didalangi Warga Asing Tumpas appeared first on Siakap Keli.
