Sindiket penipuan digital tumpas, guna fake BTS hantar pautan palsu SMS

LocalTechnology
29 Jul 2026 • 6:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sindiket penipuan digital tumpas, guna fake BTS hantar pautan palsu SMS

CYBERJAYA: Satu sindiket penipuan digital berjaya ditumpaskan yang menggunakan Stesen Pangkalan Palsu (BTS) untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengandungi pautan berunsur penipuan secara haram kepada orang ramai.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Johor Bahru pada Jumaat lalu, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dikesan memandu sebuah kenderaan yang dilengkapi kelengkapan Fake BTS memancarkan isyarat Radio Frekuensi (RF).

Katanya, ia menyamar sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menghantar SMS penipuan yang mengandungi pautan sesawang bagi memperdaya mangsa.

“Siasatan awal mendapati, sindiket ini dipercayai menyasarkan kawasan tumpuan awam terutama pada waktu puncak bagi memaksimumkan penghantaran SMS penipuan.

“Setakat pertengahan tahun ini, MCMC melaksanakan lima operasi khas membanteras kegiatan Fake BTS melibatkan dua operasi di Johor dan tiga operasi di Genting Highlands.

“Selain itu turut merampas sebanyak empat unit modul GSM yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut serta merakam empat percakapan individu bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BTS ialah peralatan komunikasi tidak standard yang meniru isyarat rangkaian mudah alih bagi membolehkan penghantaran SMS ke telefon pengguna tanpa melalui rangkaian rasmi penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Katanya, ia sekali gus menjadikan mesej penipuan atau penyamaran kelihatan seakan-akan mesej sebenar daripada penghantar.

MCMC berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Ia memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan di bawah Seksyen 239, manakala kesalahan di bawah Peraturan 16 memperuntukkan denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.

“MCMC akan terus memperhebat operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras penyalahgunaan spektrum frekuensi radio dan infrastruktur telekomunikasi untuk tujuan penipuan dan jenayah.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak menekan sebarang pautan SMS yang mencurigakan, tidak berkongsi maklumat perbankan atau maklumat peribadi tanpa membuat semakan melalui saluran rasmi.

“Segera melaporkan sebarang SMS yang mencurigakan kepada pihak berkuasa atau penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya. – UTUSAN

The post Sindiket penipuan digital tumpas, guna fake BTS hantar pautan palsu SMS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved