
KULIM – Seramai lapan lelaki tempatan didenda RM5,000 seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan penipuan dalam talian pada 9 Oktober lalu.
Mereka ialah Lee Jian, 29; Franky Ooi Zhen Yang, 26; Tan Ka Kien, 35; Lee Wai Yean, 30; Loh Seng Huang, 26; Lee Yi Chyn, 37; Low Kuan How, 41, dan Chew Joo Hock, 51.
Kesemua mereka dikenakan denda itu selepas membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Mereka turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menjalankan aktiviti penipuan dalam talian di bangunan premis di Bandar Putra, di sini kira-kira pukul 8 malam, 9 Oktober lalu.
Turut berdepan pertuduhan sama ialah 41 warga India dan Pakistan termasuk tujuh wanita, bagaimanapun mereka yang berusia 25 hingga 41 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Fadilla Muhammad Fauzi tidak membenarkan jaminan untuk kesemua tertuduh warga India dan Pakistan yang diwakili peguam, Kenny Tan Cheng Yee.
Majistret kemudian menetapkan 24 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pertuduhan ke atas kesemua warga asing yang mengaku tidak bersalah.
Sementara itu, di mahkamah sama, Lee Jian, Seng Huang dan Joo Hock turut dituduh membenarkan 17 imigran haram tinggal di premis sama.
Ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan jaminan RM8,000 bagi setiap seorang.
Kes akan disebut semula pada 18 Januari tahun depan.
Kosmo! pada 12 Oktober lalu melaporkan polis Kedah membongkar taktik sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai polis India dengan memakai uniform pasukan itu ketika membuat panggilan video bagi memperdaya mangsa di negara tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Sindiket scam menyamar polis India, 49 individu dituduh di mahkamah appeared first on Kosmo Online.

