Sindiket Seleweng Diesel Diserbu, Nilai Rampasan Lebih RM100,000

11 Jul 2022 • 9:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
KPDNHEP telah mengadakan serbuan ke atas premis di Taman Bayu Tinggi, Klang pada 6 Julai lalu dan menemui sejumlah diesel di dalam tangki, lori dan beberapa mesin kompresor. - Gambar ihsan KPDNHEP

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah premis, membabitkan nilai rampasan RM170,346.

Pengarah Penguatkuasa kementerian, Azman Azam berkata, serbuan ke atas premis di Taman Bayu Tinggi, Klang Itu dibuat 6 Julai lalu.

“Pihak berkuasa menemui sejumlah diesel di dalam tangki, lori, dan beberapa mesin kompresor ketika serbuan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai beberapa peralatan lain yang digunakan untuk penyelewengan minyak diesel tersebut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat terlibat.

Tegasnya, kementerian juga akan mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah dari mana minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

“Orang ramai  diingatkan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan KPDNHEP.

"Jika disabitkan dengan kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta dan bagi kesalahan berikutnya, RM3 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Tambah Azman, mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.

“Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah di bawah AKB 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya. – Getaran, 11 Julai 2022.