SABAK BERNAM – Rangkaian sindiket penyeludupan migran dipercayai beroperasi secara sistematik dengan lapisan kawalan tertentu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kegiatan itu dikesan menerusi operasi bersepadu yang diselaras Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor melibatkan lapan agensi penguat kuasa di perkampungan nelayan Bagan Nakhoda Omar di sini pada Jumaat.
Agensi terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan berkata, setiap agensi penguat kuasa berperanan bagi mengenal pasti modus operandi pendatang asing selain pihak yang dipercayai mendalangi aktiviti membawa masuk warga asing di perairan Selangor.
**media[3548401]**
“Mereka ini agak sistematik, ada beberapa lapisan keselamatan untuk menentukan yang mana dia 'alert' dengan kedatangan pihak kita.
"Itu saya tak boleh perincikan, tetapi kita dah nampak bagaimana dia 'secure' untuk 'protect' dia punya area.
“Ia bukan sahaja dari segi premis itu sendiri tetapi bagaimana dia design 'route' dia itu kita akan buat sedikit kajian caranya... dan masa depan mungkin kita akan buat operasi dengan sedikit berbeza agar lebih efisien dan berkesan,” katanya selepas operasi di sini pada Jumaat.
Operasi mula digerakkan dari Kuala Selangor pada Khamis.
Hasil operasi itu membawa penahanan 28 warga Indonesia yang dikesan masuk ke dalam negara secara haram melalui perairan Sabak Bernam serta tujuh tempatan disyaki tekong bagi tindakan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
"Selain itu, 79 warga asing membabitkan warga Indonesia, Myanmar, Thailand, Bangladesh, India, Pakistan ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen serta akta yang berkuatkuasa bagi agensi lain," ujarnya.
Tambahnya, sepanjang operasi dijalankan, seramai 125 individu telah diperiksa di kawasan operasi merangkumi perairan Sabak Bernam, pesisir serta jeti-jeti.
Tegasnya, kerajaan memandang serius isu keselamatan dan kawalan sempadan, khususnya melibatkan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) secara tidak sah serta aktiviti jenayah rentas sempadan.




