Sindiket SMS palsu guna Fake BTS berjaya ditumpaskan

LocalTechnology
6 Sep 2025 • 11:06 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Sindiket penyebaran SMS palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) berjaya ditumpaskan dalam satu operasi bersepadu, Op Pancing, yang dijalankan baru-baru ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataannya hari ini berkata, seorang individu berjaya ditahan dalam operasi yang dijalankan dengan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelasnya, berdasarkan aduan awam dan risikan, individu itu ditahan ketika mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan yang diletak berhampiran sebuah pusat membeli belah utama di Kuala Lumpur.

Menurut MCMC, pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif

"Ujian frekuensi mengesahkan peralatan berkenaan bukan sahaja menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing, tetapi juga berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan terbabit.

“Susulan tangkapan itu, serbuan dijalankan di sebuah premis kediaman teres dua tingkat di Kota Kemuning Shah Alam yang dijadikan tempat penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS.

“Secara keseluruhannya, 45 barangan telah disita dengan anggaran nilai RM100,000 dan seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut,’’ katanya.

image is not available
Antara barangan yang disita dalam serbuan di sebuah rumah di Kota Kemuning, Shah Alam. - Tangkap layar, 6 September, 2025

Siasatan awal, jelasnya mengenal pasti modus operandi terbaharu sindiket dengan mengubah suai kelengkapan komunikasi Fake BTS berkenaan untuk beroperasi secara mudah alih

MCMC berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Kes turut disiasat di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,'' katanya. - 6 September, 2025