Sindiket tawar dokumen palsu visa ke AS tumpas

2 Apr 2026 • 7:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara warga asing yanh ditahan JIM.

KUALA LUMPUR - Kegiatan sindiket pemalsuan pas jangka panjang yang menawarkan dokumen sokongan visa ke Amerika Syarikat dengan bayaran RM10,000 terbongkar susulan tiga warga China ditahan pada Rabu

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 54 tahun pada jam 11.25 pagi.

"Pemeriksaan mendapati kesemua individu terbabit memiliki Pas Lawatan Sosial yang disyaki palsu.

"Turut dirampas tiga pasport Republik Rakyat China yang mengandungi pelekat Pas Lawatan Sosial (Tanggungan) di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H) yang dipercayai dipalsukan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zakaria berkata, tangkapan tersebut merupakan tindakan susulan selepas pihaknya berjaya membongkar kegiatan sindiket sama pada 8 Oktober tahun lalu.

"Dalam serbuan terdahulu, enam warga China bersama dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ejen sindiket turut ditahan," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan membekalkan pelbagai pas jangka panjang palsu yang kononnya dikeluarkan oleh JIM bagi dijadikan dokumen sokongan permohonan visa ke Amerika Syarikat.

"Pas berkenaan dipercayai digunakan untuk mengaburi pihak kedutaan sekali gus memudahkan proses tapisan permohonan visa," katanya.

Menurutnya, kesemua warga asing yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Dalam perkembangan lain, JIM turut menahan seramai 11 warga China kerana disyaki telah menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Penggajian di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Zakaria berkata, hasil pemeriksaan di empat buah premis runcit dan restoran di sekitar Dengkil, Selangor pada 10.30 pagi Selasa, seramai lima warga China ditahan kerana disyaki mengoperasikan restoran dan bekerja tanpa pas yang sah.

"Kesemua yang ditahan mengemukakan Pas Lawatan Sosial dan masuk sebagai pelancong ke negara ini.

"Manakala dalam serbuan lain pada jam 5 petang hari yang sama di sekitar Kepong di sini, enam wanita warga China telah ditahan kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Penggajian dengan bekerja sebagai tukang urut," katanya.

Beliau berkata, kesemua wanita itu disyaki menyediakan perkhidmatan tidak bermoral dengan bayaran RM100 hingga RM300 bagi setiap sesi.

"Turut ditahan, seorang lelaki warganegara Malaysia yang disyaki sebagai majikan dan penjaga premis tersebut," katanya.

Zakaria berkata, kesemua warga asing berusia 28 hingga 53 tahun telah ditahan di Depot Imigresen Putrajaya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan imigresen 1963," ujarnya.