Sindiket tumpas, ketamin 20.7kg dirampas

LocalPolitics
10 Sep 2025 • 12:46 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Polis menumpaskan sebuah sindiket pengedaran dadah dengan menahan tiga lelaki dan seorang wanita serta merampas 20.7 kilogram ketamin bernilai lebih RM1 juta dalam serbuan di Kepayan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pada 4 September di sebuah premis perkhidmatan kurier di Taman Sri Kepayan, Jalan Rampai.

Pemeriksaan terhadap dua guni hijau menemui 20 bungkusan hitam berlabel “Tie Guan Yin” dipercayai berisi dadah jenis ketamin seberat 20.7kg dengan nilai pasaran RM1.035 juta.

“Dadah ini mampu menampung hampir 69,000 penagih untuk sekali guna,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, Selasa.

Polis menahan pengurus syarikat berusia 36 tahun sebelum menahan tiga lagi suspek iaitu kerani operasi berusia 58 tahun, pengarah syarikat berusia 47 tahun dan isterinya berusia 46 tahun. Semua suspek adalah warga tempatan.

Menurutnya, peranan suspek termasuk mengurus bekalan, memudahkan proses pelepasan bungkusan di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) serta pemilikan syarikat kurier yang dijadikan topeng sindiket.

Ujian air kencing terhadap suspek pertama didapati positif methamphetamine dan amphetamine.

Polis turut menyita pelbagai aset termasuk lima kereta mewah – Lamborghini Aventador, Mercedes-Benz E250, Mercedes-Benz CLA300, Toyota Alphard dan Chevrolet Colorado – selain beg tangan berjenama, barangan elektronik serta wang tunai RM4,670.

Nilai rampasan aset dianggarkan RM3.18 juta, menjadikan jumlah keseluruhan, termasuk dadah, RM4.2 juta.

“Semua suspek direman hingga 11 September mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup,” kata Jauteh.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai menyeludup dadah dari Semenanjung melalui kargo udara dengan menyamar menggunakan barangan seperti mi segera dan lampin pakai buang.

“Kejayaan ini hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam. Perjuangan membanteras dadah akan terus menjadi keutamaan,” tegasnya.