
SEPANJANG sambutan Bulan Kesedaran Kesihatan Mental, tumpuan wacana masyarakat lazimnya terarah kepada isu kemurungan klinikal, tekanan melampau, atau buli siber yang ekstrem.
Namun, wujud satu bentuk barah emosi senyap yang sering terlepas pandang iaitu keganasan psikologi terselindung (covert psychological aggression).
Keganasan ini berselindung di sebalik gurauan harian biasa seperti hantaran media sosial lucu yang berbunyi, “Nasib badan… Bila kita tegur nak salam, dia siap berdesup lari… sampai nak rabak kain, dia melangkah laju,” disusuli deretan emoji ketawa.
Di sebalik latar visual hantaran yang merungut seolah-olah menjadi mangsa salah faham, tersirat bibit manipulasi emosi yang licik, ketidakmatangan komunikasi dan pembulian emosi yang tidak melibatkan fizikal.
Daripada aspek sosiolinguistik, coretan ini berbaur strategi kesantunan berkias (off-record politeness strategy). Penulis sengaja tidak menamakan sasarannya secara khusus bagi menjamin ruang penafian munasabah sekiranya dicabar kelak.
Diksi hiperbola seperti “berdesup lari” dan “rabak kain” digunakan untuk mewujudkan persepsi umum bahawa pihak lawan bersikap janggal dan biadab, manakala frasa “Nasib badan” bertindak sebagai perangkap simpati agar penulis diangkat sebagai mangsa keadaan bagi menutup malu akibat penolakan.
Secara psikologi, tindakan ini mendedahkan personaliti pasif-agresif yang berakar daripada ketakutan mendalam terhadap konfrontasi. Individu sebegini hakikatnya pengecut di alam nyata tetapi lumpuh keberanian asertifnya apabila berhadapan mata ke mata.
Namun, menerusi media sosial, skrin telefon pintar dijadikan perisai keberanian palsu. Penulis memutarbelitkan situasi (gaslighting) di ruang maya semata-mata untuk memastikan egonya kekal ‘menang’ tanpa perlu menanggung risiko perbalahan fizikal.
Kematangan personaliti tidak diukur melalui kepintaran memanipulasi persepsi di media sosial, sebaliknya dibuktikan melalui keberanian untuk menyelesaikan sengketa secara beradab dan bermaruah di alam nyata. Malangnya, ini adalah hal yang mustahil bagi si pelaku.
Bulan Kesedaran Kesihatan Mental wajar membuka mata bahawa luka emosi boleh berpunca daripada kata-kata sindiran berbaur jenaka yang tidak kelihatan berbahaya. Pelaku sebegini sukar untuk didakwa akibat ketiadaan bukti. Natijahnya, hanya dirasai oleh mangsa sendirian. – UTUSAN
IZA FARADIBA MOHAMMAD PATEL
Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Perak
The post Sindiran dan manipulasi siber si ‘pengecut’ appeared first on Utusan Malaysia.
