Sindrom Blues Selepas #RAYA2023: Adakah Anda Juga Mengalaminya?

Opinion
27 Apr 2023 • 2:30 PM MYT
KadangKaler
KadangKaler

Menulis kerana mindaku selalu berbicara, lantas kuluahkan dengan tulisan.

image is not available
Gambar hiasan. Kredit foto: Murai MY

Bagi penulis, sindrom blues selepas raya itu adalah perasaan melankoli yang dirasai seseorang selepas beberapa hari menyambut hari perayaan. Perasaan ini dirasakan apabila menyedari realiti bahawa sambutan hari raya itu sudah berakhir dan hidup perlu diteruskan seperti biasa selepas ini.

Rasa melankoli yang muncul adalah kerana seseorang itu merasakan kekurangan kebersamaan dengan keluarga dan insan tersayang. Selain itu, perasaan ini juga boleh dirasai apabila seseorang terlalu terjebak dengan suasana sambutan Hari Raya sehingga sukar untuk beradaptasi dengan keadaan normal selepas sambutan berakhir.

Penulis sendiri tidak terlepas dari merasakan perasaan ini apabila saban tahun menyambut hari raya bersama insan tersayang.

Berikut merupakan tanda-tanda sindrom blues selepas raya menurut pandangan peribadi penulis:

1. Bagi anak yang balik kampung, akan merasa berat hendak pulang semula ke kota. Jika boleh ditangguh, pastinya si anak akan melambat-lambatkan waktu untuk pulang semula ke kehidupan asal di kota. Hakikatnya setiap dari kita perlulah kembali ke kehidupan seperti biasa bagi meneruskan kelangsungan hidup masing-masing. 

2. Ibu bapa di kampung terasa sunyi tiba-tiba usai kepulangan anak-anak menantu dan cucu-cucu ke rumah masing-masing. Rumah yang beberapa harinya riuh rendah dengan sembang dan gelak tawa ramai tiba-tiba terasa hening dan senyap. Kesenyapan yang mengejut ini membuatkan orang tua kita lebih terasa blues itu kerana suasana kontra dari riuh kepada hening yang berlaku dalam sekelip mata sahaja.

Image from: Sindrom Blues Selepas #RAYA2023: Adakah Anda Juga Mengalaminya?
Gambar hiasan. Kredit foto: Facebook Galeri Sentuhan ArifSan

3. Anak-anak kecil sering bertanya kepada ibu bapa mereka, bila lagi mahu pulang ke rumah atuk dan nenek semula. Semasa sambutan hari perayaan, pastilah yang paling teruja menyambutnya adalah anak-anak kecil. Masa inilah mereka dapat bermain bersama sepupu sepapat, bermesra dengan ibu bapa saudara serta atuk dan nenek. Peluang yang datang sekali-sekala ini pasti akan dirindukan oleh mereka.

4. Bagi yang mula bekerja, mood untuk bekerja terasa kurang kerana masih terngiang-ngiang suasana beraya. Biasanya pada minggu pertama selepas hari raya, masih belum ramai yang belum pulang bekerja. Buat mereka yang sudah masuk kerja, melihat suasana yang masih tidak ramai ditambah pula dengan kelibat hiasan-hiasan sambutan hari raya yang tergantung atau bertampal di dinding - pastinya membisikkan rasa rindu dengan hari raya. Maka mood untuk bekerja pun masih terbahagi dengan mood sebelumnya.

Image from: Sindrom Blues Selepas #RAYA2023: Adakah Anda Juga Mengalaminya?
Hiasan bertemakan hari raya menjadi latar biasa di pejabat-pejabat tatkala musim perayaan. Kredit foto: Deko Rumah

5. Rumah terasa lengang. Biasanya apabila kita membuat persiapan menyambut tetamu yang ramai, rumah akan dilapangkan atau diluaskan bagi memberi ruang yang selesa buat anak-anak menantu dan cucu-cucu yang pulang menyambut raya bersama. Setelah surutnya tetamu-tetamu itu dari rumah, pastinya ruang yang lapang dan luas itu akan terasa lengang lantas membangkitkan rasa hening di hati tuan rumah.

Demikian beberapa hal yang dapat penulis kongsikan berkenaan sindrom blues selepas raya. Adakah anda juga pernah merasainya? Ada jugakah tanda-tanda lain yang dapat anda kaitkan dengan sindrom blues ini?

Kesimpulannya, perasaan blues selepas raya ini tidak semestinya sesuatu yang buruk. Bahkan, ianya sebagai tanda bahawa betapa istimewanya hari raya ini buat kita yang menyambutnya. Nostalgia dan kenangan yang menggamit hati dan perasaan kita membuatkan kita sentiasa ternanti-nantikan kedatangan dan melengah-lengahkan pemergian sambutannya.

Bagi yang baru pulang dari menyambut hari raya, penulis mengucapkan selamat kembali bekerja atau menjalani semula rutin biasa kalian. Semoga tahun depan kita dapat merasai semula kemeriahannya dan mengulangi semula keseronokan hari raya.


Image from: Sindrom Blues Selepas #RAYA2023: Adakah Anda Juga Mengalaminya?
Hantar artikel/video berkaitan #RAYA2023 dan menangi hadiah wang tunai sebanyak RM8,000! Ketahui lebih lanjut di sini.


KadangKaler adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.