Singa Peliharaan Terlepas Serang Orang Awam, Pemilik Ditahan

9 Jul 2025 • 10:19 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Singa Peliharaan Terlepas Serang Orang Awam, Pemilik Ditahan

LAHORE — Seorang wanita dan dua kanak-kanak cedera selepas diserang seekor singa peliharaan yang terlepas dari sebuah rumah di kawasan perumahan Johar Town, di sini pada Khamis lalu, lapor CNN.

Menerusi rakaman kamera keselamatan (CCTV) yang dikongsikan pihak polis, singa berkenaan dipercayai melompat keluar dari tembok konkrit sebelum menerkam wanita tersebut dari arah belakang di sebuah lorong. Ia menyebabkan mangsa terjatuh sebelum seorang lelaki dilihat datang menghalau haiwan itu.

Dua kanak-kanak berusia lima dan tujuh tahun turut diserang haiwan berkenaan dalam kejadian yang sama.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke hospital dengan kecederaan di muka dan lengan, namun kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

https://x.com/Razarumi/status/1941208800813343008

Polis Lahore dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa singa berkenaan telah melarikan diri dari sangkar yang terbuka dan ditangkap semula oleh pemiliknya.

Pemilik kemudiannya melarikan diri ke daerah lain dengan membawa haiwan itu menaiki sebuah kenderaan.

Timbalan Ketua Polis Operasi Lahore, Muhammad Faisal Kamran, berkata tiga individu telah ditahan pada pagi Jumaat dan singa terbabit telah diserahkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut.

“Pemilik haiwan itu ditahan kerana tidak memiliki lesen dan kini berdepan tindakan di bawah Akta Hidupan Liar,” katanya sambil menambah bahawa pemilik boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga AS$17,500,” katanya.

Sementara itu, Ketua Renjer Jabatan Hidupan Liar dan Taman Punjab, Syed Kamran Bukhari, berkata singa yang dibela itu adalah tidak sah dan pihaknya akan mengambil tindakan berat terhadap pemilik.

“Kejadian ini menunjukkan betapa bahayanya jika haiwan liar dipelihara tanpa lesen atau pengawasan yang sah. Ia boleh mengancam keselamatan awam,” tegas Kamran.

Susulan kejadian, Kerajaan Negeri Punjab mengumumkan operasi besar-besaran di seluruh negeri bagi membanteras pemilikan singa secara haram.

Setakat ini, 18 ekor singa telah dirampas dan lima individu ditahan kerana melanggar peraturan hidupan liar.

Sumber: CNN News