Singapura akan buka konsulat di Sabah, Sarawak

4 Dec 2025 • 6:24 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Singapura bakal membuka konsulat baharu di Sabah dan Sarawak yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong yang menyambut baik keputusan Malaysia untuk meluluskan secara rasmi cadangan itu berkata, ia akan membolehkan Singapura menyediakan perkhidmatan konsular kepada rakyat Singapura di negeri itu.

“Gembira Malaysia telah bersetuju secara rasmi dengan cadangan Singapura untuk membuka konsulat di Sabah dan Sarawak.

“Ini akan membolehkan Singapura menyediakan perkhidmatan konsular kepada rakyat Singapura di sana, serta memperdalam hubungan erat yang sedia terjalin antara rakyat kita,” kata Wong, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pemukiman Pemimpin Tahunan Ke-12 yang diadakan di Singapura, hari ini.

Singapura kini mempunyai dua misi diplomatik di Malaysia, iaitu Suruhanjaya Tinggi di Kuala Lumpur dan sebuah konsulat di Johor Bahru yang dibuka pada 2009.

Perkara itu pertama kali dibangkitkan pada pemukiman pemimpin di Putrajaya pada Januari lalu antara Anwar dan Wong.

Pada sidang media yang sama, Malaysia dan Singapura mencapai persefahaman penting dalam perbincangan berterusan mengenai Kawasan Maklumat Penerbangan (FIR), dengan kedua-dua pihak bersetuju sebarang pengaturan pada masa depan mesti memastikan pergerakan trafik udara berjalan lancar tanpa halangan.

Menurut Anwar, Malaysia mengiktiraf keperluan Singapura untuk aliran trafik udara yang selamat dan efisien ke Lapangan Terbang Changi dan Seletar, manakala Malaysia juga memerlukan pergerakan penerbangan bebas ke Sabah dan Sarawak.

Mengenai isu sempadan maritim, Anwar berkata Malaysia dan Singapura perlu berusaha ke arah penyelesaian secara baik, sambil menegaskan bahawa kedua-dua negara harus terus mencapai kemajuan.

Beliau berkata pendirian itu telah disampaikan dengan jelas kepada rakan sejawatnya dari Singapura, serta kepada anggota Kabinet Malaysia dan pegawai yang terlibat dalam perbincangan tersebut, sambil menyatakan bahawa kedua-dua negara secara umumnya selaras dalam isu serantau dan perdagangan yang lebih luas.

“Saya akui, ia lebih kompleks, tetapi jika terdapat komitmen jelas untuk cuba menyelesaikannya, saya yakin kita boleh mencapai kemajuan.

"Dan selain hanya mengiktiraf bahawa ia satu masalah - masalah kompleks - pendirian saya jelas. Saya telah memberitahu Perdana Menteri Lawrence, rakan-rakan saya dalam Kabinet, dan pegawai bahawa kita mesti berusaha ke arah penyelesaian secara baik.

“Walaupun tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya ada kemajuan,” katanya sambil menambah bahawa kerumitan isu itu tidak seharusnya menghalang kedua-dua pihak daripada bergerak ke hadapan secara konstruktif.

Beliau menegaskan Malaysia berharap hubungan uniknya dengan Singapura terus diperkukuh, bukan sahaja dalam hubungan diplomatik tetapi juga dalam bidang ekonomi, perdagangan, kebudayaan dan pendidikan. - 4 Disember, 2025

The post Singapura akan buka konsulat di Sabah, Sarawak appeared first on Scoop.