Singapura: Dua ahli parti pembangkang letak jawatan susulan 'kelakuan tidak wajar'

WorldPolitics
19 Jul 2023 • 5:56 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SINGAPURA: Parti Pekerja Singapura (WP) hari ini mengumumkan peletakan jawatan Ahli Parlimennya Leon Perera dan pemimpin kanan parti Nicole Seah.

Dalam kemas kini terbaharunya di Facebook rasmi, WP menjelaskan bahawa peletakan jawatan itu dibuat berikutan bukti rakaman video mengenai “hubungan tidak wajar mereka muncul awal minggu ini.”

“Walaupun Parti amat kesal dengan kehilangan dua ahli yang berpengalaman, tindakan ini perlu untuk memenuhi piawaian tinggi Parti.

“Seperti yang digariskan dalam perlembagaan Parti, ahli dikehendaki jujur dan berterus terang dalam hubungan mereka dengan Parti dan rakyat Singapura,” menurut kenyataan yang dikeluarkan WP.

Parti pembangkang itu pada Isnin telah menyatakan bahawa ia sedia maklum mengenai video klip yang tersebar di media sosial dan sedang meneliti perkara itu.

Perera ialah ahli parlimen bagi kawasan perwakilan kumpulan (GRC) Aljunied manakala Seah adalah calon Pilihan Raya Umum 2020.

Kemaskini itu juga turut melampirkan kenyataan setiausaha agung WP Pritam Singh berkaitan perkara itu.

Menurut Pritam, beliau telah menerima surat peletakan jawatan Seah pada 18 Julai dan menerima surat peletakan jawatan Perera berkuat kuasa hari ini.

“Perera telah memaklumkan kepada Pemangku Speaker Parlimen bahawa beliau akan meletakkan jawatan di Parlimen,” kata Pritam. -Bernama