KUANTAN – Jika berkunjung ke Kuantan, tidak lengkap rasanya jika tidak singgah ke Tanjung Api, sebuah perkampungan nelayan terletak berhampiran muara Sungai Kuantan.
Walaupun hanya 4.4 kilometer dari pusat bandar, lokasi itu menawarkan suasana tenang dan santai bagi mereka yang ingin berehat daripada kesibukan kota.
Dikenali sebagai destinasi budaya dan pesisir, Tanjung Api memberi peluang kepada pengunjung menyelami kehidupan nelayan, menikmati keindahan alam serta bersantai di jeti.
Nama Tanjung Api diambil daripada sebuah rumah api lama yang satu ketika dahulu berfungsi sebagai panduan kepada bot dan kapal nelayan ke muara terutama pada waktu malam.
Meskipun struktur asal rumah api tidak lagi kelihatan, kisahnya terus menjadi sebahagian identiti kampung dan diceritakan secara turun-temurun.
**media[3542597]**
Kawasan ini sentiasa dipenuhi bot nelayan yang pulang membawa hasil tangkapan seperti ikan, sotong, udang dan ketam segar.
Aktiviti memunggah hasil laut, membaiki jaring serta urusan jual beli di pasar nelayan menjadikan kawasan itu hidup dengan rutin harian masyarakat pesisir.
Pasar hasil laut di Tanjung Api turut dikenali sebagai lokasi mendapatkan makanan laut segar terus daripada nelayan, khususnya pada waktu pagi dengan harga berpatutan serta pilihan.
Selain pasar nelayan, kawasan itu turut mempunyai deretan kedai makan kecil menawarkan menu kampung serta hidangan laut pada harga berpatutan.
Antara menu pilihan popular pengunjung ialah ikan bakar, keropok lekor serta lauk tradisional yang dinikmati sambil bersantai bersama keluarga atau rakan dengan latar pemandangan muara.
Bagi penggemar sarapan pagi, Tanjung Api menyimpan tarikan tersendiri yang menjadi sebutan penduduk tempatan.
**media[3542592]**
Di situ terletaknya antara lokasi nasi minyak popular di bandar raya ini. Hidangan nasi lembut dan harum disajikan bersama kuah gulai pekat serta sambal pedas, menjadikannya menu pilihan utama sarapan berat.
Tidak hairanlah seawal pagi lagi deretan gerai sudah mula dipenuhi pelanggan yang sanggup beratur bagi menikmati keenakan hidangan tradisi tersebut.
Selain tarikan makanan, kawasan ini juga menjadi lokasi kegemaran penggemar fotografi.
Deretan bot nelayan berwarna-warni berlabuh di jeti, suasana kampung pesisir serta pantulan cahaya pagi dan senja menjadikan setiap sudutnya menarik untuk dirakam.
Pengunjung, Adelia Farhana Ismail, 34, dari Kuala Lumpur, berkata kunjungannya ke Tanjung Api didorong oleh minatnya terhadap fotografi.
Menurutnya, suasana jeti dan pemandangan muara Sungai Kuantan pada waktu pagi dan petang menjadikan kawasan itu menarik untuk sesi penggambaran.
“Setiap kali datang, mesti ada sudut baharu untuk dirakam. Cahaya pagi dan senja di sini memang cantik,” katanya.
**media[3542594]**
Sementara itu, seorang lagi pengunjung dari Indera Mahkota, Mohd Aiman Hakim, 29, mengakui kerap ke Tanjung Api kerana tertarik dengan hidangan kampung dijual pada harga berpatutan selain mudah mendapatkan hasil laut segar.
“Biasanya saya datang membeli ikan atau sotong segar, kemudian makan lauk campur. Harganya murah dan suasana di sini memang santai,” katanya.
Bagi nelayan tempatan, Ismail Jusoh, 58, kehadiran pengunjung memberi suasana berbeza kepada kampung mereka.
“Ramai datang bukan sekadar membeli ikan tetapi mahu melihat suasana nelayan, mengambil gambar dan bersantai. Kami mengalu- alukan kehadiran mereka.
"Ramai pengunjung memilih bersantai di sekitar jeti sambil menikmati pemandangan selain menjamu selera,” katanya.
Tanjung Api bukan sekadar destinasi makanan laut segar, malah menjadi lokasi warisan nelayan yang masih kekal autentik.
