Sir Cloud Lancar Buku, Kongsi Pengalaman, Liku-Liku Hidup

2 Jun 2024 • 1:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Andrew Cheong (dua, kiri) pada pelancaran bukunya di PBAKL, semalam - Gambar Rabak Lit

KUALA LUMPUR - Liku-liku hidup dalam bidang e-Sukan suka-duka hidup lalui sebelum mencipta nama mendorong Andrew Cheong tampil dengan sebuah buku, khusus mencertikan kisah hidupnya.

Diberi tajuk 'Esports Selamatkan Hidup Aku', ia adalah garapan jujur Cheong mengenai e-Sukan yang disifatkan pemangkin untuk menjalani hidup dengan lebih baik.

Turut dikenali sebagai Sir Cloud, Cheong ketika ditemui berkata, buku itu diharap mampu menyuntik inspirasi kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang tersebut.

"Buku ini adalah dokumentasi perjalanan hidup saya dalam dunia e- Sukan dari permulaan sampai aktiviti yang saya lakukan sekarang. Jatuh bangun kerjaya saya dalam bidang ini.

"Tidak semua indah dalam dunia e-Sukan. Ia bukan sahaja tentang permainan video, tetapi juga gabungan dedikasi, kerja keras dan semangat untuk berjaya," katanya ketika ditemui Getaran selepas pelancaran buku tersebut di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), semalam. 

Ditanya dari mana datangnya idea menghasilkan buku tersebut, pensyarah Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Taruc) itu memberitahu, ia memang sudah menjadi hasratnya sejak sekian lama.

Jelas Cheong, tugas sebagai pendidik membuatkan beliau sedar kepentingan untuk menerbitkan bacaan lisan yang boleh dijadikan rujukan, termasuk untuk mencipta kandungan bermutu di media sosial.

“Atas dasar itu juga, buku ini tidak hanya memaparkan perjalanan kisah hidup saya semata-mata.

“Saya mahu memberi gambaran secara menyeluruh dengan membabitkan keseluruhan ekosistem dunia e-Sukan kepada orang ramai.

“Saya anggap buku ini  merupakan salah satu pendedahan mengenai e- Sukan,” katanya sambil menambah, beliau mengambil masa setahun untuk menyiapkan karya tersebut.

Cheong, mula berkecimpung dalam industri e-Sukan sejak 2001 yang mulanya dianggap hanya sebagai satu hobi.

Namun selepas beberapa lama, beliau nekad untuk mengubah haluan kerjaya daripada dunia korporat kepada e-Sukan.

Keputusan itu nyata tidak sia-sia apabila berhasil meraih pelbagai pengiktirafan, antaranya anugerah ‘Most Influential Male Caster’  oleh Global Electronics Sports Industry Award di Hong Kong.

Cheong juga dilantik sebagai pengurus kontinjen eSports Malaysia pada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja, yang menyaksikan pasukan negara meraih empat pingat.

Buku ‘Esports Selamatkan Aku’ di bawah terbitan Rabak Lit kini boleh didapati di kedai buku terpilih dan platform dalam talian pada harga RM35 senaskhah. - Getaran, 2 Jun 2024

View Original Article