SIREH Park dinobatkan sebagai taman rekreasi komuniti hijau bandar terbesar oleh Malaysia Book of Records

LocalEnvironment
18 Jul 2025 • 11:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SIREH Park dinobatkan sebagai taman rekreasi komuniti hijau bandar terbesar oleh Malaysia Book of Records

image is not available

18/07/2025 - 11:31

Pengiktirafan diterima UEM Sunrise membuktikan komitmennya bukan sekadar membina kediaman malah memelihara alam sekitar dan memberi nilai kepada komuniti Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai – SIREH Park yang dibangunkan UEM Sunrise Berhad menerima pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book of Records (MBR) sebagai taman rekreasi komuniti hijau bandar terbesar di Malaysia.

SIREH Park yang terletak di Iskandar Puteri, Johor dibangunkan semula daripada bekas ladang kelapa dan hutan sekunder, mencerminkan komitmen jangka panjang UEM Sunrise terhadap pembangunan bandar lestari.

Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise, Hafizuddin Sulaiman berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan perancangan bersepadu syarikat yang berpandangan jauh dalam pembangunan hijau yang mampan.

“Sebagai pemaju induk, kami tidak hanya merancang SIREH Park sebagai ruang hijau, malah menjadikannya sebahagian penting dalam perbandaran yang menyokong kelestarian, biodiversiti dan nilai komuniti.

“Ini adalah hasil kerjasama erat pelbagai pihak yang menjadikan taman ini sebagai sumber bersama untuk pendidikan, rekreasi dan penjagaan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-30 MBR yang berlangsung di One World Hotel, Petaling Jaya baru-baru ini.

image is not available

Diuruskan oleh The Nusajaya Natural Heritage Trust (TNNHT), taman seluas 138.8 hektar itu diwujudkan pada tahun 2017 sebagai sebahagian daripada aspirasi syarikat untuk memperkukuh daya tahan ekologi, kesejahteraan komuniti dan pendidikan alam sekitar.

Nama SIREH pula merupakan akronim kepada Sustainable, Initiatives, Recreation and Education Haven.

Terletak di lokasi strategik, di tengah-tengah pembangunan utama UEM Sunrise seperti Horizon Hills, East Ledang, Nusa Idaman dan Gerbang Nusajaya, SIREH Park kini menjadi komponen utama dalam pelan induk Iskandar Puteri dan menyumbang kepada kelestarian hidup kawasan itu.

image is not available

Selain itu, beliau berkata, SIREH Park adalah projek permulaan yang selaras dengan matlamat syarikat untuk membangunkan perbandaran yang seimbang antara pertumbuhan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Sepanjang pembangunannya, SIREH Park telah berkembang sebagai platform kolaboratif untuk usaha pemuliharaan alam.

“Antara inisiatif yang dijalankan termasuk pemulihan ekologi, program kesedaran awam dan pemantauan habitat, yang mendapat sokongan daripada penduduk setempat, institusi akademik, NGO serta kumpulan belia,” katanya.


Setakat ini, lebih 10,000 pokok spesies tempatan telah ditanam di taman tersebut, termasuk spesies yang tersenarai dalam Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Melalui program “Plant That Tree”, SIREH Park menyasarkan untuk menanam 25,000 pokok menjelang 2028.

Selain itu, sistem tanah lembap turut diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti air serta menyokong biodiversiti tempatan.

Kini, taman tersebut menempatkan lebih 120 spesies tumbuhan dan 35 spesies burung, dengan pemantauan ekologi dijalankan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta rakan penyelidik tempatan.

Terletak di tengah-tengah Iskandar Puteri, SIREH Park menawarkan landskap tasik yang memukau, taman botani yang menghijau dan pemandangan indah.

Dengan pelbagai kemudahan seperti laluan mendaki, berbasikal, serta ruang terbuka untuk aktiviti keluarga dan fotografi, taman ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat, daripada pengunjung santai hinggalah pencinta alam semulajadi.

Ketika UEM Sunrise terus mengukuhkan kehadirannya di selatan Johor, SIREH Park muncul sebagai model terbaik yang menggabungkan infrastruktur hijau untuk meningkatkan kualiti hidup dan nilai jangka panjang dalam pembangunan bandar moden. - DagangNews.com

standard