Siri peranti pintar gaming ASUS ROG Phone 8 ialah salah satu daripada peranti-peranti kegemaran kami. Dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen3, ia juga tampil dengan paparan skrin besar 6.78 inci dengan kadar segar semula 165Hz.
Hari ini, ASUS Malaysia telah mengumumkan bahawa bersempena dengan musim 14 acara e-sukan MPL MY yang sedang berlangsung sehingga 13 Oktober ini, mereka telah menawarkan diskaun untuk dua model peranti ASUS ROG Phone 8 dan ASUS ROG Phone 8 Pro bermula hari ini, 1 Oktober 2024 sehingga 3 November 2024.

Untuk ASUS ROG Phone 8, dengan penawaran memori 12GB dan storan 256GB, ASUS Malaysia telah menurunkan harganya dari RM3999 ke RM3299 untuk tempoh promosi ini. Manakala untuk ASUS ROG Phone 8 Pro pula, dengan memori 16GB dan storan dalaman 512GB, harganya telah diturunkan dari RM4799 ke RM4599.
Buat masa ini, promosi ini nampaknya hanya hadir melalui laman ASUS Store Malaysia yang sudahpun memperlihatkan tanda harga potongan untuk kedua-dua peranti ini.
