Siri Galaxy S25 mungkin hanya akan dikuasakan Snapdragon 8 Gen 4, tiada lagi Exynos

Digital
18 Jun 2024 • 8:36 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Samsung dilaporkan akan menggunakan semula strategi lama mereka untuk menguasakan telefon flagship siri Galaxy seterusnya. Seperti yang anda semua tahu, Samsung memperkasakan telefon siri Galaxy S24 mereka sama ada menggunakan cip Snapdragon ataupun Exynos hasilan mereka sendiri.

Namun, perkara tersebut mungkin akan berubah sepenuhnya untuk siri Samsung Galaxy 25 akan datang. Ini setelah terdapat laporan daripada penganalisis terkenal, Ming Chi Kuo yang mengatakan Samsung berkemungkinan akan hanya menggunakan cip Snapdragon untuk siri Galaxy S25 nanti.

Menurut Ming Chi Kuo, dia memaklumkan bahawa Qualcomm mungkin akan menjadi pembekal tunggal cip untuk siri Galaxy S25 dan ia disebabkan oleh isu penghasilan cip Exynos 2500. Dikatakan yang Samsung menghadapi kesukaran untuk mengilang dan menghasilkan cip menggunakan proses 3nm, yang membuatkan mereka akan bergantung pada cip Qualcomm sahaja.

Jika dilaksanakan, ia bukanlah kali pertama Samsung menggunakan cip terkini Qualcomm pada semua telefon flagship mereka. Contohnya, pada Galaxy S23 sebelum ini yang hanya menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy. Cuma baru-baru ini sahaja Samsung kembali menggunakan kombinasi cip Qualcomm dan Exynos.

Meskipun begitu, penggunaan hanya cip Snapdragon 8 Gen 4 pada siri Galaxy pastinya akan disukai ramai dan boleh dilihat sebagai langkah positif. Ini kerana, cip Qualcomm di telefon Galaxy mempunyai prestasi lebih tinggi berbanding model menggunakan cip Exynos. Bukan itu sahaja, ia juga akan menjadikan siri Galaxy ada prestasi yang konsisten merentasi semua model.

Walau bagaimanapun, terdapat juga keburukan jika Galaxy S25 hanya menggunakan cip Snapdragon sahaja. Ini adalah kerana, Ming Chi Kuo memaklumkan yang cip Snapdragon 8 Gen 4 mungkin akan 25%-30% lebih mahal berbanding generasi sebelumnya, yang mungkin akan mengakibatkan kenaikan harga pada siri Galaxy S25 akan datang.

Dikhabarkan yang cip Snapdragon 8 Gen 4 akan dibina menggunakan platform N3E generasi ke-2, iaitu sebuah proses 3nm TSMC. Sebagai perbandingan, Snapdragon 8 Gen 3 dibina di menggunakan proses 4nm TSMC.

Bagaimanapun, melihat pada pelancaran siri Galaxy S24 yang diadakan pada bulan Januari, kita masih lagi jauh daripada pelancaran siri Galaxy S25 dan sudah tentu maklumat harganya hanya akan ada jika ia dilancarkan kelak. Untuk makluman anda, siri Galaxy S24 sekarang dijual pada harga bermula RM4,099 untuk Galaxy S24, RM4,899 untuk Galaxy S24+ dan RM6,299 untuk Galaxy S24 Ultra.

[Sumber: AndroidPolice]

Bacaan berkaitan