
Siri Honor N, atau lebih dikenali sebagai siri nombor Honor kini dilabel sebagai kelas mercu. Dahulunya siri ini berada dalam kategori pertengahan premium namun ia telah menerima peningkatan dan kini diletakkan dalam kelas peranti mercu bagi melengkapkan ekosistem pintar Honor. Langkah ini turut menambah pilihan dalam siri Magic yang sedia ada sekali gus mengukuhkan kedudukan Honor dalam segmen peranti mercu.

Seiring dengan pengumuman ini, Honor turut mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan model baharu dalam siri N tidak lama lagi. Antara yang diketengahkan ialah rekaan lebih premium dengan gaya reka bentuk lebih segar. Peranti ini direka menggunakan teknik ukiran terkini yang diyakini mampu memberikan kemasan lebih baik, sekali gus meningkatkan ketahanan dan pengalaman penggunaan.

Selain itu, peranti ini disahkan hadir dengan cip pemprosesan Snapdragon berkuasa. Penggunaan cip tersebut bertujuan menawarkan prestasi lebih tinggi serta integrasi kecerdasan buatan (AI) yang lebih meluas untuk kegunaan harian. Dari segi fotografi, siri N akan dilengkapi dengan sistem kamera telefoto yang direka semula. Bukan sekadar perkakasan, Honor turut memberi tumpuan kepada ciri AI Image-to-Video yang dipertingkatkan, membolehkan gambar statik ditukar kepada format video dengan lebih lancar melalui algoritma AI.

Dengan perubahan ini, siri Honor N mungkin akan hadir dengan harga yang lebih tinggi berbanding sebelum ini. Namun, kenaikan ini boleh dianggap sebagai langkah wajar seiring dengan peningkatan spesifikasi perkakasan dan perisian yang kini setaraf peranti mercu. Dalam pasaran semasa pula, trend menunjukkan banyak peranti baharu ditawarkan pada harga lebih tinggi, jadi penyesuaian ini tidaklah terlalu mengejutkan.


