Siri Huawei Pura80 Kini Ke Pasaran Global Dengan Dwi-Lensa Periskop Berkongsi Satu Sensor

TechnologyDigital
11 Jul 2025 • 12:48 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Huawei secara rasmi melancarkan siri Pura 80 ke pasaran global menerusi acara yang diadakan di Dubai hari ini. Ia meneruskan kesinambungan daripada model sebelumnya dengan tumpuan terhadap aspek fotografi.

image is not available

Huawei Pura80 Ultra merupakan model paling premium dalam siri terbaharu ini. Ia hadir dengan paparan LTPO OLED 6.8 inci yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Skrin ini turut menyokong lebih satu bilion warna dan menawarkan resolusi 2848 × 1276 piksel untuk paparan yang tajam dalam pelbagai jenis kandungan.

image is not available

Maklumat mengenai cip pemproses tidak didedahkan namun Huawei menyatakan bahawa prestasinya telah ditambah baik berbanding generasi terdahulu. Peranti juga menawarkan pilihan memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB. Ia turut menjalankan sistem operasi EMUI 15 yang menyertakan pelbagai ciri baharu berasaskan AI.

image is not available

Kamera utama Pura80 Ultra terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP bersaiz 1 inci yang dilengkapi dengan apertur boleh laras antara f/1.6 hingga f/4.0 serta sokongan OIS. Turut disertakan ialah lensa ultra lebar 40MP, telefoto periskop 50MP dengan OIS, telefoto periskop 12.5MP dan lensa spektra 1.5MP. Kamera hadapan pula menggunakan sensor 13MP untuk swafoto.

image is not available

Kedua-dua lensa telefoto periskop tersebut menggunakan sensor yang sama dan ditempatkan di bawah bonggol kamera paling besar di bahagian belakang peranti. Melalui teknologi ini, peranti menawarkan keupayaan zum optikal sehingga 3.7X dan 9.4X manakala zum digital pula boleh sehingga 100X.

Pura80 Ultra hadir dengan bateri berkapasiti 5170mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 100W dan nirwayar 80W. Peranti ini juga dilengkapi beberapa ciri tambahan seperti NFC, pengimbas cap jari di sisi, serta sensor infra merah yang menambah fungsi kawalan dalam penggunaan harian.

image is not available

Huawei Pura 80 Pro turut diperkenalkan dengan paparan bersaiz 6.8 inci menggunakan panel LTPO OLED beresolusi tinggi 1276 x 2848 piksel. Skrin ini menyokong kadar segar semula 120Hz serta menawarkan kecerahan maksimum sehingga 300 nits. Bagi perlindungan tambahan, ia dilengkapi dengan kaca Kunlun Glass 2 yang lebih tahan lasak terhadap calar dan hentakan.

image is not available

Dari segi memori, Pura 80 Pro hadir dengan RAM sebanyak 12GB serta storan dalaman sehingga 512GB. Ia turut dilengkapi bateri berkapasiti 5170mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 100W dan nirwayar 80W untuk pengecasan semula peranti dengan lebih cepat.

image is not available

Sistem kamera peranti ini merangkumi sensor utama 50MP bersaiz 1″ dengan apertur boleh laras antara f/1.4 hingga f/4.0 serta sokongan OIS. Ia turut dilengkapi dengan lensa ultra-lebar 40MP (f/2.2) untuk gambar sudut lebar serta telefoto makro 48MP. Melengkapkan sistem ini ialah sensor spektrum warna 1.5MP yang berperanan dalam mengoptimumkan warna dan pencahayaan agar imej kelihatan lebih semula jadi.

image is not available

Akhir sekali, Pura 80 dilengkapi skrin OLED LTPO bersaiz 6.6-inci FHD+120Hz. Peranti ini menggunakan EMUI 15, dipadankan dengan memori 12GB RAM dan storan 256GB. Keupayaan kamera peranti ini merangkumi kamera utama 50MP dengan bukaan apertur boleh laras (F1.4~F4.0), ultra-lebar 13MP, periskop telefoto 12MP serta senor Ultra Chroma dengan 1.5 juta saluran spektrum bagi penghasilan warna yang seimbang. Peranti ini juga hadir dengan bateri berkapasiti 5170mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 66W dan nirwayar 55W.

image is not available

Huawei Pura 80 Pro ditawarkan di pasaran UAE pada harga €1099 (~RM5,474) mengikut kadar tukaran semasa. Sementara itu, model Pura 80 Ultra pula dijual pada harga €1499 iaitu sekitar RM7,464. Bagi model Pura 80, ia telah diumumkan secara rasmi namun belum disenaraikan untuk jualan di UAE. Menurut Huawei, ketersediaan model ini akan diumumkan secara berperingkat mengikut pasaran masing-masing.

image is not available

image is not available

Huawei turut mengesahkan bahawa peranti akan ditawarkan di pasaran Malaysia. Buat masa ini, tarikh pelancaran rasmi untuk pasaran tempatan masih belum didedahkan, namun pihak Huawei memaklumkan bahawa maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.