Selepas pelancaran global di Bangkok tempoh hari, Huawei kini berkongsi tarikh pelancaran rasmi untuk pasaran Malaysia yang dijadualkan pada 19 Mei 2025. Tiga produk akan diperkenalkan termasuk peranti boleh pakai dan aksesori audio. Peranti boleh pakai terdiri daripada siri Huawei Watch Fit 5 dan Huawei Watch Ultimate Spring Edition, manakala aksesori audio Huawei Freelip 2 Berry Purple turut dilancarkan pada hari sama.

Huawei Watch Fit 5 hadir dalam dua model iaitu versi Pro dan Standard dengan tempahan awal kini dibuka melalui deposit RM50. Versi Pro menampilkan fungsi pengesanan awal diabetes (diberikan melalui kemas kini OTA), skrin AMOLED 1.92 inci dengan kaca Sapphire 2.5D, rangka titanium dan aluminium serta bateri 471mAh yang mampu bertahan sehingga 10 hari.

Ia turut menyokong lebih 100 mod senaman termasuk Free Diving, Cycling Assistant dan Golf Mode, serta fungsi kesihatan seperti ECG, pemantauan tidur, apnea tidur, kesihatan emosi 2.0, kekakuan arteri dan HRV. Selain itu, jam tangan ini menawarkan mod senaman mini dengan ikon panda, aplikasi eksklusif untuk sukan raket, sokongan pembayaran TNG QR, penarafan IP6X, storan dalaman 64GB serta serasi digunakan bersama iPhone dan Android.

Huawei Watch Fit 5 Standard pula menggunakan skrin AMOLED 1.82 inci dengan kecerahan sehingga 2500 nits. Ia dilengkapi kebanyakan sensor seperti versi Pro namun tidak menyokong ECG, Depth Sensor, pengesanan awal diabetes, kekakuan arteri, serta mod Freedive, Cycling Assistant dan Golf Mode.

Sementara itu, Huawei Watch Ultimate Spring Edition ialah model premium eksklusif yang kali ini lebih menekankan gaya feminin berbanding model sebelumnya yang berimej maskulin. Ia hadir dengan bezel sapphire potongan berlian 60 sisi, tombol logam bertatahkan berlian asli dengan 18 sudut sisi serta tali jam yang dihiasi 99 berlian asli yang dipasang secara manual.

Huawei Freelip 2 Berry Purple pula hanyalah kemas kini warna baharu yang melengkapkan pilihan biru dan putih sebelum ini. Tiada perubahan pada perkakasan dalaman, menjadikannya sama sahaja sebagai fon telinga berbentuk subang yang mudah digunakan. Nantikan pelancaran rasmi di Malaysia untuk mengetahui maklumat penuh termasuk harga jualan produk-produk ini.

