Infinix Malaysia mengumumkan tarikh pelancaran rasmi siri terbaharu mereka HOT 60 yang dijadual berlangsung pada 10 Julai 2025. Siri ini akan memperkenalkan dua model baharu iaitu Infinix HOT 60 5G dan HOT 60i dengan masing-masing menyasarkan segmen pengguna yang berbeza.

Antara keistimewaan utama siri ini ialah Adaptive One-Tap AI Button iaitu butang fizikal khas yang memudahkan pengguna mengakses fungsi AI dengan pantas. Tekan lama akan mengaktifkan Folax iaitu pembantu suara AI Infinix yang boleh membantu mengurus jadual, menjawab pertanyaan, dan memberi cadangan peribadi. Sementara itu, dua kali tekan membuka pintasan yang boleh disesuaikan untuk akses segera ke aplikasi pilihan pengguna.

Peranti ini turut menampilkan pelbagai ciri AI yang direka untuk meningkatkan produktiviti harian. Antara fungsi utamanya termasuk AI Writing yang boleh menyunting teks secara automatik, AI Sketch to Image dan AI Text to Image untuk menukar lakaran atau arahan teks kepada grafik, serta AI Summary yang bentu meringkaskan isi penting daripada rakaman suara, panggilan telefon atau dokumen.
Untuk spesifikasi, HOT 60 hadir dengan cip MediaTek Dimensity 7060 yang menyokong rangkaian 5G, serta paparan bersaiz 6.7 inci HD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Sementara itu, HOT 60i akan dilengkapi bateri berkapasiti 5160mAh dengan sokongan 45W Fast Charge. Untuk maklumat lanjut, nantikan pelancaran rasmi siri ini tidak lama lagi.




