
Infinix memperkenalkan Note 60 dalam dua varian berbeza iaitu model standard dan model Pro. Kedua-duanya berkongsi sebahagian besar perkakasan dalaman namun terdapat perbezaan kecil yang ketara pada cip pemprosesan.

Note 60 Pro menggunakan cip Snapdragon 7s Gen 4 (4nm) yang menjadikannya antara peranti pertama Infinix dilengkapi dengan cip Snapdragon. Sementara itu, Note 60 standard pula dijana oleh cip MediaTek Dimensity 7400 Ultimate (4nm) yang turut menawarkan kecekapan tinggi tetapi dengan pendekatan berbeza terhadap prestasi.

Infinix Note 60 dan Note 60 Pro menggunakan skrin AMOLED 1.5K dengan kadar segar semula 144Hz serta kecerahan puncak 4500 nits. Ia dipadankan dengan pilihan memori sehingga 12GB RAM LPDDR5X bersama storan 256GB UFS 2.2 di samping antaramuka XOS 16 berasaskan Android 16 untuk pengalaman peranti lebih moden.

Bahagian kamera didatangkan dengan tetapan 50MP (utama) + 8MP (ultra-lebar) yang menyokong rakaman video sehingga 4K/30FPS. Kamera hadapan 13MP pula sesuai untuk swafoto dan panggilan video. Selain itu, peranti ini dilengkapi dengan bateri 6500mAh, pengecasan pantas 90W, pengimbas cap jari di skrin, pembesar suara stereo JBL dengan sokongan Hi-Res Audio serta kalis air IP64.
