Siri Komputer Huawei Mungkin Beralih Menggunakan HarmonyOS Sepenuhnya

TechnologyDigital
20 Mar 2025 • 3:03 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Oleh kerana pelbagai sekatan ekonomi dan teknologi yang diperkenalkan oleh beberapa negara dan syarikat-syarikat keatasnya, Huawei dilihat telah membangunkan teknologi komponen, peranti dan perisian mereka sendiri dengan cip seperti HiSilicon Kirin dan HarmonyOS.

Laporan terbaru daripada sejumlah laman media di China mengatakan bahawa lesen sistem operasi Microsoft Windows untuk Huawei akan tamat tempoh tidak lama lagi, dan Huawei nampaknya tidak akan cuba untuk memperbaharui lesen tersebut, dan akan beralih sepenuhnya kepada sistem operasi HarmonyOS mereka, menyerupai peranti-peranti pintar sedia ada mereka di pasaran China.

Untuk pasaran global, Huawei masih lagi menggunakan sistem operasi EMUI pada peranti-peranti peranti yang dijual secara global.

image is not available

Perkara ini nampaknya akan memberi kesan kepada komputer-komputer riba generasi akan datang Huawei, dan sekatan-sekatan terbaru yang dikenakan keatas mereka bermakna bahawa pembaharuan lesen untuk menggunakan sistem operasi Microsoft Windows tidak akan diperbaharui walaupun jika mereka mahu melakukannya.

Sementara menunggu untuk sistem operasi HarmonyOS siap dibina untuk komputer-komputer riba Huawei, mereka juga nampaknya telah melancarkan Huawei MateBook D16 Linux Edition yang menggunakan sistem operasi Linux.

Integrasi HarmonyOS dalam semua produk-produk Huawei bukanlah sesuatu yang baru. Sistem operasi ini mula dibangunkan apabila Huawei tidak lagi dibenarkan untuk menggunakan sistem operasi Android dan sistem Google Play pada peranti-peranti mereka. HarmonyOS sudahpun diintegrasikan dalam produk-produk lain seperti tablet, televisyen pintar dan juga peranti berhubung mereka, dan nampaknya komputer-komputer mereka tidak lama lagi.