Selepas dilancarkan di Milan, siri realme GT 6 kini rasmi untuk pasaran Malaysia. Terdapat dua peranti ditawarkan iaitu realme GT 6 dan realme GT 6T. Satu adalah peranti mercu mampu milik dan satu lagi adalah peranti kelas pertengahan premium. Siri GT 6 juga adalah peranti AI pertama realme selepas berbulan lamanya peranti lain di bawah BBK Electronics menerima ciri sama.

realme GT 6
Peranti ini menggunakan skrin LTPO AMOLED 120Hz bersaiz 6.78-inci beresolusi 2780 x 1264 dengan kecerahan mencapai 6000 nits serta perlindungan Gorilla Glass Victus 2. GT 6 dijana dengan cip Snapdragon 8s Gen 3 sama seperti Poco F6 dan Honor 200 Pro. Ia kemudian dipadankan dengan memori sehingga 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman mencapai 512GB UFS 4.0.

Bateri peranti adalah 5500mAh dengan pengecasan pantas 120W. Kamera pula adalah 50MP Sony LYT-808 (OIS, f/1.69) + 8MP Sony IMX355 (f/2.2) + 50MP Samsung S5KJN5 (f/2.0) dan kamera swafoto 32MP Sony IMX615 (f/2.45). realme turut menggunakan speaker stereo yang ditala dengan OReality Audio, menjalankan realme UI 5.0 berasaskan Android 14 dan turut dilengkapi dengan ciri AI generatif NEXT AI yang dikuasakan AndesGPT.
realme GT 6T
Peranti ini pula adalah peranti AI mereka yang lebih murah. Ia juga merupakan peranti pertama di Malaysia dengan cip Snapdragon 7+ Gen 3. Skrin, bateri, perisian, pengecasan dan sokongan audio semuanya sama dengan GT 6. Perbezaan paling utama adalah pada kamera dan juga memori. Peranti ini hanya didatangkan dengan pilihan 12GB RAM LPDDR5X + 256GB UFS 4.0.

Kemudian untuk kamera ia hanya mempunyai dua sensor di belakang iaitu 50MP Sony LYT-600 (OIS, f/1.88) + 8MP Sony IMX355 sudut ultra lebar (f/2.2) dan kamera swafoto pula adalah 32MP Sony IMX615 (f/2.45).
Harga Jualan
Di Malaysia, dua realme GT 6 ditawarkan iaitu 12/256 GB dengan harga RM2599 dan 16/512 GB dengan harga RM2899. Dua warna pilihan adalah Fluid Silver dan Razor Green. Setiap pembelian dari 21 Jun ke 31 Julai layak menerima hadiah bernilai RM797 iaitu TechLife A1 Smartwatch, jaminan skrin rosak setahun dan gerenti pertukaran peranti 1-1 dalam masa 30 hari.

realme GT 6T pula berharga RM2399 untuk 12/256 GB. Sempena pelancaran realme menawarkan diskaun RM400 untuk dibeli pada harga RM1999 dari 21 Jun sehingga 27 Jun di Shopee, TikTok dan Lazada. Pilihan warna adalah sama dengan GT 6.

