Siri Storan Mudah-Alih SanDisk Creator Kini Mula Dijual Di Malaysia

TechnologyDigital
19 Jun 2025 • 2:51 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Jika anda sedang mencari storan flash (SSD, thumb drive dan sebagainya) untuk tujuan menyimpan data jangka masa pendek ataupun panjang, SanDisk hari ini telah mengumumkan pelancaran siri produk SanDisk Creator mereka untuk pasaran tempatan.

image is not available

Siri storan ini terdiri daripada SanDisk Creator Phone Drive, SanDisk Creator Phone SSD, SanDisk Creator microSD Card, SanDisk Creator SD UHS-II Card, SanDisk Creator USB-C Flash Drive, SanDisk Creator Pro Portable SSD dan SanDisk Creator Desk Drive.

image is not available

SanDisk Creator Phone Drive merupakan storan flash yang tampil dengan sokongan untuk kedua-dua sambungan USB Type-C dan juga Lightning yang membolehkan pengguna untuk mengalihkan fail-fail gambar dan video dari peranti pintar ke storan dengan cepat melalui aplikasi Memory Zone. Ia tampil dalam pilihan storan 128GB dan 256GB.

SanDisk Creator Phone SSD pula membolehkan anda merakam foto dan video anda secara terus kepada storan ini, dan ia hadir dengan sokongan untuk sambungan nirwayar MagSafe yang membolehkan anda melekapkan storan ini di bahagian belakang peranti anda yang mempunyai sokongan teknologi magnet tersebut.

image is not available

Storan ini hadir dalam kapasiti sehingga 2TB, dan boleh menyokong rakaman video 4K60 dan format fail Apple ProRes. Dari segi kadar penghantaran data, SSD ini hadir dengan kadar pembacaan data 1000MB/s dan kadar penulisan data 950MB/s.

image is not available

SanDisk Creator MicroSD Card dan SanDisk Creator SD UHS-II Card adalah storan yang cukup sesuai untuk peranti pintar, konsol permainan ataupun kamera yang memerlukan storan tambahan yang menawarkan pilihan storan sehingga 1TB.

image is not available

SanDisk Creator USB-C Flash Drive pula ialah storan kecil dengan penawaran storan dari 256GB sehingga 1TB yang boleh menyimpan jumlah data yang banyak, dan mudah diakses melalui peranti-peranti yang hadir dengan sambungan USB Type-C seperti komputer desktop, komputer riba dan peranti pintar dengan kadar pembacaan data 400MB/s.

image is not available

SanDisk Creator Pro Portable SSD adalah storan SSD untuk profesional yang mahu menyunting kandungan kreatif dimana-mana mereka berada, pada bila-bila masa. Dengan pilihan storan sebesar 4TB dengan kadar kelajuan pembacaan data sepantas 2000MB/s, pengguna tidak perlu risau lagi tentang isu suntingan tersekat-sekat kerana menggunakan storan yang perlahan.

image is not available

SanDisk Creator Desk Drive ialah storan padat untuk pejabat yang hadir dengan pilihan storan 4TB dan 8TB dengan kadar pembacaan data sepantas 1000MB/s yang cukup berguna untuk pejabat kecil yang mahu berkongsi storan besar untuk menyimpan pelbagai jenis fail dan boleh dikongsi dengan rakan-rakan pejabat.

SanDisk mengatakan bahawa semua produk-produk ini sudahpun mula ditawarkan melalui gedung atas talian mereka di Shopee dan Lazada pada harga-harga berikut:

  • SanDisk Creator Phone Drive – Bermula dari RM449
  • SanDisk Creator Phone SSD – Bermula dari RM699
  • SanDisk Creator MicroSD Card – Bermula dari RM129
  • SanDisk Creator SD UHS-II Card – Bermula dari RM339
  • SanDisk Creator USB-C Flash Drive – Bermula dari RM149
  • SanDisk Creator Pro Portable SSD – Bermula dari RM949
  • SanDisk Creator Desk Drive – Bermula dari RM2879