Sisa binaan Singapura buang di Malaysia

LocalEnvironment
8 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sisa binaan Singapura buang di Malaysia

PONTIAN – Konvoi treler yang membawa sisa binaan dari ­Si­ngapura untuk dibuang di daerah ini sejak dua tahun lalu bukan sahaja membaha­yakan nyawa, malah menyebabkan rumah penduduk retak selain mengundang kemalangan kepada penunggang motosikal.

Pergerakan dan kerja-kerja memunggah didakwa bermula pada waktu malam hingga awal pagi melibatkan beberapa kawasan termasuk Parit Sikom, Batu 26 Jeram Batu-Pengkalan Raja, Kampung Parit Rambai, Kampung Sungai Dinar dan Mukim Sungai Karang.

Lebih membimbangkan, penduduk mempersoalkan bagaimana treler yang didakwa membawa sisa binaan itu boleh melepasi pintu sempadan sebelum menggunakan laluan kampung untuk menuju ke tapak pelupusan yang dipercayai milik persendirian.

Sumber berkata, sisa ber­kenaan diambil daripada kerja-kerja perobohan rumah pangsa lama di Singapura sebelum dihancurkan menggunakan mesin khas dan dimuatkan ke dalam treler milik syarikat logistik.

Dakwanya, konvoi treler ter­babit memasuki Johor melalui Kompleks Sultan Abu Bakar di Gelang Patah sebelum menggunakan Jambatan Sungai Pulai dan jalan kampung menuju ke Pontian.

“Kerja-kerja memunggah sisa lazimnya berjalan selama lima jam bermula pukul 9 malam. Pemilik tanah pula didakwa menyediakan jentera untuk meratakan timbunan sisa sebaik sahaja treler tiba,” katanya.

Dakwa sumber, aktiviti berkenaan pernah dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Pontian serta mesyuarat khas melibatkan beberapa jabatan dan agensi, namun kegiatan itu masih berterusan.

Image from: Sisa binaan Singapura buang di Malaysia
Seorang penduduk menunjukkan kawasan yang dijadikan tapak pembuangan sisa binaan Singapura
di daerah Pontian ketika ditemui baru-baru ini.

Seorang penduduk, Ahmad Daud Saeng, 59, berkata, mereka hairan siapa yang memberi kebenaran masuk kira-kira 20 tre­ler hampir setiap malam untuk membuang sisa di situ.

Katanya, antara kampung terjejas ialah Simpang Kiri, Buluh Kasap, Peradin, Belokok, Sungai Punai dan Sungai Senai.

“Ia menyebabkan jalan dipenuhi habuk, lumpur dan batu yang tercicir sehingga membahayakan pengguna jalan raya, terutama penunggang motosikal,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kawasan 2 Mukim Sungai Karang, Rais Mohd. Amin, 57, pula berkata, kenderaannya rosak akibat terlanggar bongkah batu yang tercicir daripada treler berkenaan.

“Malam-malam mana nampak batu atas jalan. Penunggang motosikal juga pernah kemalangan langgar bongkah batu yang jatuh atas jalan,” katanya.

Menurut Rais, jika hujan, jalan kampung itu menjadi berlumpur hingga menjejaskan keselesaan dan ke­selamatan pengguna.

Hassan Abd. Karim, 62, pula mendakwa, treler terbabit sering melalui kawasan kampung selepas waktu maghrib dan ketika solat Jumaat.

Menurutnya, gegaran daripada treler bermuatan berat turut didakwa menyebabkan beberapa rumah penduduk mengalami keretakan, selain jalan kampung semakin rosak akibat kenderaan yang membawa muatan berat.

Shamsul Kahar Mohd. Zapin, 63, berkata, kedudukan Pontian berhampiran Singapura mungkin menjadi antara faktor kawasan itu dipilih sebagai lokasi pembuangan sisa binaan.

“Kami tidak mahu me­nuduh sesiapa, tetapi pihak berkuasa perlu menyiasat sama ada aktiviti ini mematuhi undang-undang. Penduduk hanya mahu kepastian kerana kami yang menanggung kesannya setiap hari,” katanya.

Penduduk berharap kerajaan negeri bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, pihak berkuasa tempatan serta polis menjalankan siasatan menyeluruh mengenai isu itu.

The post Sisa binaan Singapura buang di Malaysia appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved