PELABUHAN KLANG – Sebanyak tujuh kontena yang mengandungi sisa elektronik atau e-waste, campuran sisa dan besi buruk dianggarkan seberat 78,000 kilogram dikesan dalam pemeriksaan Op Green Shield ke-16 yang dijalankan di Pelabuhan Klang pada Jumaat.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, SIRIM dan Lembaga Pelabuhan Klang.
"Seramai 20 anggota daripada agensi terlibat menjalankan pemeriksaan terhadap beberapa kontena bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari bagi memastikan kandungan kontena mematuhi peraturan serta tidak melibatkan bahan terlarang.
"Hasil pemeriksaan mendapati empat kontena mengandungi sisa elektronik manakala tiga lagi berisi campuran sisa dan besi buruk yang tidak mematuhi syarat import sebelum diserahkan kepada pihak SIRIM untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
**media[3455432]**
Nik Ezanee berkata, secara keseluruhan sejak pelaksanaan Op Green Shield pertama hingga operasi ke-16, sebanyak 142 kontena dikenal pasti positif mengandungi sisa elektronik dengan jumlah berat keseluruhan 2,844.46 tan.
"Operasi itu dilaksanakan sebagai langkah penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pengimportan sisa elektronik secara tidak sah ke dalam negara," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan pada Jumaat adalah bagi meneruskan verifikasi senarai yang telah diberikan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Klang pada tahun 2025.
"Kontena-kontena e-waste akan ditempatkan di kawasan yang selamat sementara menunggu notis dari Jabatan Alam Sekitar bagi tujuan re-export.
"AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa yang terlarang," ujarnya.
