Sisa Fukushima: Presiden, PM Korea Selatan Nikmati Makanan Laut Ketika Mesyuarat

28 Aug 2023 • 6:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi terjejas teruk susulan gempa bumi dan tsunami yang melanda wilayah itu pada 11 Mac 2011. - gambar fail

SEOUL - Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dan Perdana Menteri, Han Duck Soo menikmati hidangan makanan laut semasa mesyuarat makan tengah hari mingguan mereka pada Isnin bagi mempromosi keselamatan makanan laut susulan pelepasan air sisa radioaktif Jepun ke lautan.

Makanan laut juga dihidangkan di kafeteria pejabat presiden, kata pejabat presiden.

Pejabat presiden berkata pelbagai jenis makanan laut akan dihidangkan di kafeteria sepanjang minggu, bermula dengan hirisan ikan mentah dan ikan tenggiri panggang pada Isnin, lapor agensi berita Yonhap.

"Jumlah orang yang makan di kafeteria hari ini 1.5 kali lebih lebih ramai daripada biasa, termasuk ramai kakitangan yang membatalkan janji temu makan tengah hari mereka untuk makan di kafeteria," kata pejabat presiden dalam satu nota kepada pemberita.

Setiausaha kanan presiden bagi hal ehwal politik, Lee Jin Bok dan setiausaha kanan akhbar, Kim Eun Hye adalah antara yang menjamu selera, katanya. Kafeteria kehabisan ikan mentah awal kerana permintaan yang tinggi.

Keselamatan makanan laut menjadi isu utama selepas Jepun mula melepaskan air sisa radioaktif terawat ke lautan sejak minggu lepas dari loji kuasa nuklear Fukushima yang lumpuh, yang menurut kerajaan Jepun pelepasan itu tidak mendatangkan bahaya kepada kesihatan selagi ia dilakukan dengan cara yang selamat dari segi saintifik. - BERNAMA-YONHAP