
TAWAU: Sistem pembetungan di beberapa kawasan di Tawau didapati sudah lama tidak berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan air kumbahan yang tidak dirawat dilepaskan terus ke dalam parit, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong, Justin Wong.
Menurutnya, terdapat juga beberapa stesen pam kumbahan di daerah ini yang sering mengalami kerosakan.
Baru-baru ini, katanya, beliau menerima aduan daripada penduduk di beberapa kawasan, termasuk Taman Rose, kawasan berhampiran Penjara Tawau, Sri Utama serta hadapan Sekolah Methodist.
Katanya, air sisa kumbahan di lokasi-lokasi berkenaan didapati dilepaskan terus ke dalam parit tanpa melalui sebarang proses rawatan sehingga menyebabkan bau busuk serta pembiakan nyamuk dan serangga perosak.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kebersihan dan imej bandar, malah turut mengganggu kehidupan harian penduduk setempat,” katanya.
Justin berkata pelepasan air kumbahan yang tidak dirawat bukan hanya menimbulkan masalah bau yang tidak menyenangkan malah bakteria berbahaya, patogen dan bahan pencemar kimia dalam kumbahan boleh meresap ke dalam tanah dan sumber air sekali gus meningkatkan risiko penularan penyakit.
“Air kumbahan yang bertakung boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk, lalat dan serangga perosak, dan akhirnya meningkatkan risiko penularan penyakit seperti denggi dan malaria.
“Apabila sisa kumbahan mengalir ke laut, keadaan ini akan menjejaskan kualiti air pesisir pantai menyebabkan pemutihan terumbu karang serta kematian hidupan marin sekali gus memberi kesan langsung kepada sektor perikanan dan keseimbangan ekosistem pantai Tawau,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri mendedahkan butiran projek serta jadual pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf sistem pembetungan di Tawau termasuk menjelaskan status penggunaan peruntukan yang telah diluluskan.
Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM203 juta dalam Belanjawan Negeri tahun lalu bagi menaik taraf sistem pembetungan di beberapa kawasan termasuk Kota Kinabalu dan Tawau.
“Bagaimanapun, jumlah sebenar peruntukan yang disalurkan kepada Tawau, kemajuan setiap projek serta pecahan perbelanjaannya masih belum didedahkan secara telus kepada umum,” katanya.
Beliau mempersoalkan jumlah peruntukan yang sebenarnya diterima oleh Tawau memandangkan beberapa stesen pam kumbahan di kawasan bandar telah lama mengalami kerosakan, malah ada yang rosak akibat kecurian dan vandalisme.
Katanya, rakyat berhak mengetahui jumlah peruntukan yang telah disediakan untuk pembelian peralatan baharu serta jumlah projek menaik taraf sistem pembetungan yang sedang dilaksanakan di seluruh Tawau ketika ini.
Tegasnya, jabatan berkaitan seharusnya memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai bila masalah pembetungan yang sekian lama membelenggu Tawau dapat diselesaikan sepenuhnya memandangkan peruntukan sudah pun diluluskan.




