
Sistem Integrasi JPN-TH Permudah Urusan Kematian Jemaah Haji Malaysia Di Tanah Suci
Setiap kali tibanya musim haji, pelbagai kisah di Tanah Suci menjadi perhatian. Namun di sebalik perjalanan suci itu, terdapat juga tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dan empati, khususnya dalam menguruskan kes kematian jemaah haji Malaysia.
Bagi musim haji 1447 Hijrah, tugas tersebut digalas oleh Ketua Unit Pendaftar Kelahiran/Kematian (Pendaftar Hedjaz) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Salasiah Masron.
Beliau mengakui pengalaman pertama bertugas di Tanah Suci memberi kesan emosi yang mendalam, terutama ketika mengendalikan kes kematian pertama membabitkan jemaah haji Malaysia.
“Saya rasa terkejut kerana beberapa hari sebelum itu, saya baru menghantar borang daftar kematian ke Maktab sebagai persediaan. Apabila mendapat berita kematian tersebut, ia benar-benar menyentuh emosi saya.
“Tapi akhirnya saya kembali kepada soal qada dan qadar. Apa yang berlaku sudah ditentukan Allah SWT dan daripada situ saya belajar untuk lebih tenang menguruskan kes seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, arwah meninggal dunia pada hari Jumaat dan situasi itu sedikit mencabar kerana hari bekerja di Arab Saudi berbeza dengan Malaysia.
“Bagaimanapun pihak JPN sudah bersedia dan sebaik sahaja hari bekerja di Malaysia bermula pada Isnin, proses terus dilakukan dan waris segera dihubungi,” katanya.
Tambah beliau, sijil kematian pertama itu turut diserahkan sendiri oleh Ketua Pengarah JPN, Dato’ Badrul Hisham Alias kepada waris duyufurrahman di tanah air sebagai tanda keprihatinan terhadap keluarga jemaah yang kehilangan insan tersayang di Tanah Suci.
Baca juga:Menurut beliau, peranan Pendaftar Hedjaz dilaksanakan di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Peruntukan-Peruntukan Khas) 1975 [Akta 152], yang melibatkan urusan menerima laporan kelahiran dan kematian jemaah haji Malaysia berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH).
“Kami menerima laporan kematian di Tanah Suci, mendaftarkannya serta merekodkan butir-butir berkaitan sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat JPN.
“Pada masa ini kami menggunakan sistem integrasi antara Sistem Tabung Haji dan Sistem Kematian Hedjaz JPN yang membolehkan maklumat dari Tanah Suci diterima terus oleh JPN di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, sebaik sahaja maklumat lengkap diterima melalui Sistem Kematian Hedjaz JPN, sijil kematian boleh dikeluarkan di mana-mana pejabat JPN di seluruh negara.
Menurutnya, proses itu kini jauh lebih cepat berbanding sebelum tahun 2013 apabila semua urusan dilakukan secara manual, termasuk mengimbas dan menghantar dokumen melalui e-mel.
“Proses dahulu agak lambat disebabkan semua dilaksanakan secara manual. Sekarang dokumen yang diimbas hanya sebagai sokongan kerana sistem sudah berintegrasi sepenuhnya,” katanya.
Salasiah turut memaklumkan bahawa dua pegawai JPN ditempatkan di Tanah Suci sepanjang musim haji, masing-masing di Madinah dan Makkah, bagi memastikan segala urusan berkaitan berjalan lancar. Seorang daripadanya ialah Mohd Saifulzaman Mahdi yang bertugas di Madinah.
“Alhamdulillah, pihak Maktab dan Unit Perhubungan Hospital TH banyak membantu. Borang yang sampai kepada kami biasanya sudah lengkap bersama dokumen sokongan yang diperlukan.
“Waris di Malaysia tidak perlu bimbang kerana kebajikan jemaah haji dijaga dengan sangat baik oleh pihak TH,” katanya.
Menurut beliau lagi, antara inisiatif yang dilaksanakan JPN ialah menyantuni waris jemaah yang meninggal dunia dengan menyediakan sesi temu janji khas bagi urusan penyerahan sijil kematian di pejabat JPN.
Katanya, sijil kematian itu amat penting kerana diperlukan untuk pelbagai urusan termasuk tuntutan insurans, faraid dan pengurusan harta arwah.
“Kita akan hubungi waris di Tanah Air yang didaftarkan dalam sistem TH dan bertanya pejabat JPN mana yang mereka selesa untuk mengambil sijil kematian tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Salasiah turut menjelaskan terdapat perbezaan dalam pengurusan kes kematian ketika musim haji dan di luar musim haji.
Menurut beliau, ketika musim haji terdapat petugas Pendaftar Hedjaz yang ditempatkan di Tanah Suci bagi menguruskan perkara berkaitan, manakala bagi kes melibatkan jemaah umrah, urusan perlu dilakukan menerusi pihak konsulat.



