Kamera Sistem Keselamatan Kesedaran (Automatik Automated Awareness Safety System) atau AWAS akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan pemandu yang melanggar had laju bermula Jun 2025. Memetik laporan New Straits Times (NST) dan Berita Harian, ia menggunakan kaedah pengesanan kelajuan berasaskan titik ke titik (point-to-point) yang menggantikan kamera statik bagi mengukur tempoh serta jarak perjalanan kenderaan diantara dua lokasi.

Seperti yang dinyatakan, kamera ini dipasang di plaza tol bagi merekodkan masa perjalanan pemandu. Jika mereka didapati tiba lebih awal daripada masa anggaran perjalanan maka nombor pendaftaran kenderaan akan dikesan dan saman akan dikeluarkan secara automatik.
Ini bermaksud, pemandu tidak boleh terlepas daripada dikesan jika mereka melebihi had laju yang ditetapkan berdasarkan tempoh masa yang diukur melalui sistem baharu ini. Sistem juga menggunakan AI untuk mengenal pasti jika pemandu cuba memanjangkan masa perjalanan dengan berhenti di lokasi tertentu bagi mengelak dikesan sistem itu.

Ujian awal akan dilakukan di beberapa lokasi lebuh raya utama termasuklah Terowong Genting Sempah ke hentian rehat Gombak di Lebuhraya KL-Karak, dan Plaza tol Senawang ke plaza tol Simpang Ampat di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Ia turut akan dipasang di lokasi berisiko tinggi seperti kemalangan dengan jarak laluan yang lebih panjang. Sekiranya ujian ini berjaya kelak akan dilaksanakan sepenuhnya bagi tujuan keselamatan jalan raya.




