Sonos pada tahun ini menimpa nasib malang yang tidak dijangka. Pengenalan aplikasi generasi baharu mereka untuk mengawal produk seperti Sonos Ace dan Sonos Arc Ultra tidak memberikan akses lengkap dan turut mempunyai banyak pepijat. Walaupun perkara ini sudah dalam perancangan untuk dibaiki, janji kosong Sonos membuatkan orang ramai mula rasa risau dan kecewa. Terbaru, Sonos dilihat sudah menemui rakan kerjasama untuk projek televisyen pintar mereka dan ia mencurigakan.

Sonos dilaporkan akan hadir dengan kotak TV untuk menjadikan televisyen biasa atau televisyen pintar sedia ada menjalankan sistem operasi Sonos. Sistem operasi ini dikatakan akan mesra dengan produk-produk Sonos selain turut akan menawarkan pengalaman hiburan yang lebih baik. Rakan kerjasama yang Sonos pilih adalah The Trade Desk iaitu syarikat perniagaan iklan digital dan mereka baru melancarkan sistem operasi televisyen sendiri Ventura yang mungkin menjadi asas kepada sistem operasi TV Sonos.
The Trade Desk dikatakan bersetuju untuk membina sistem operasi asas dan menguruskan pengedaran aplikasi serta perniagaan iklan. Sementara Sonos akan sendiri merekabentuk kotak TV dan rekaan antaramuka sistem operasi mereka. Menurut The Trade Desk, Ventura akan memfokuskan kepada penawaran kandungan rentas platform (Apple TV, Google TV, Fire TV semua sudah ada) dengan kurang memaparkan iklan. Selain turut akan memberi hab setempat menguruskan langganan (Apple dan Prime pun ada).
Ventura turut menjanjikan yang pengiklan akan dapat menikmati pulangan tinggi dan menjanjikan boleh menawarkan platform iklan kurang kos tetapi adil untuk semua. Dengan sejarah Sonos sekarang, saya tidak boleh bayangkan apakah Sonos akan berikan pada sistem operasi mereka yang berbeza dengan penawaran Google TV, Apple TV, Tizen OS, LG webOS dan lain-lain. Diharapkan apa yang Sonos ingin perkenalkan ini benar-benar unik dan berinovasi, jika tidak kecaman menanti sekali lagi. Apa kata anda?
