

SHAH ALAM, 23 JUL: Kerajaan Negeri meneruskan perbincangan berhubung pelaksanaan Sistem Parkir Pintar (SIP) di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meningkatkan kecekapan dan hasil negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini hanya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyatakan bantahan terhadap inisiatif tersebut.
“Ia adalah proses kebenaran di peringkat PBT. Yang membantah sekarang ini adalah MBPJ dan kita akan tengok apa asas bantahan sebab kita mahu tingkatkan kutipan hasil, terutamanya hasil parkir.
“Sebelum ini hasil parkir yang dapat dikutip hanya 30 peratus, maknanya ada 70 peratus yang tidak dapat dikutip. Kita perlu pertingkatkan dengan teknologi.
“Tetapi Dato’ Ng Suee Lim (EXCO Kerajaan Tempatan) akan respon dengan mereka untuk terangkan dan kita akan bincang lagi kerana ini adalah proses untuk dapatkan kebenaran PBT,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan program BizMatch Mega PKNS 2025: Himpunan Usahawan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini.
Turut hadir EXCO Keusahawanan Najwan Halimi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas.
Sebelum ini, Ng Suee Lim memaklumkan syarikat Rantaian Mesra Sdn Bhd akan melaksanakan kutipan parkir menerusi sistem SIP di empat PBT bermula 1 Ogos ini.
Selain MBPJ, tiga lagi PBT ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Menurutnya, Kerajaan Negeri optimis sistem baharu itu akan meningkatkan kutipan hasil parkir dalam jangka masa panjang meskipun mungkin berlaku penurunan sementara pada peringkat awal.
The post Sistem parkir pintar: Kerajaan Negeri teruskan rundingan dengan PBT appeared first on Selangorkini.

