Sistem pertahanan Greece pintas serangan Houthi di Arab Saudi

WorldPolitics
27 Jul 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sistem pertahanan Greece pintas serangan Houthi di Arab Saudi

RIYADH: Sistem pertahanan pe­luru berpandu Patriot milik Greece berjaya memintas serangan Houthi ke atas Arab Saudi menerusi inisiatif bersepadu yang bertujuan memperkukuh keselamatan udara Riyadh.

Ketegangan di Asia Barat kembali memuncak apabi­la kumpulan Houthi yang di­sokong Iran di Yemen melancarkan beberapa serangan terhadap Arab Saudi.

Menurut sumber tentera Greece, salah satu serangan menyasarkan sebuah kompleks penapisan minyak utama di kawasan Yanbu. 

Namun, sistem pertahanan peluru berpandu Patriot milik Greece yang ditempatkan di kawasan berkenaan bersama  pasukan tentera negara itu di Arab Saudi berjaya memintas serangan yang dilancarkan dari wilayah Yemen.

Sistem pertahanan udara Patriot berkenaan kemudian turut memusnahkan sebuah dron yang menghampiri dari arah Yemen.

Usaha itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Konsep Pertahanan Udara dan Peluru Berpandu Bersepadu, yang bertujuan memperkukuh sistem pertahanan udara Arab Saudi.

Sebelum itu, kumpulan Hou­thi mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan peluru berpandu ke bandar Jizan di selatan Arab Saudi.

Riyadh bagaimanapun ti­dak segera mengulas laporan yang disiarkan saluran media berkaitan Houthi di Telegram pada Sabtu, yang mendakwa serangan peluru berpandu dari Yemen itu mencetuskan kebakaran di Jizan.

Namun, agensi pertahanan awam Arab Saudi mengeluarkan amaran ringkas kepada penduduk di Jizan dan Yanbu supaya berwaspada.

Amaran itu dikeluarkan selepas gabungan tentera yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan terhadap beberapa pasukan ketenteraan Houthi di Yemen.

Jurucakap gabungan berkenaan, Naib Marsyal Udara Turki al-Maliki berkata, operasi itu dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap serangan Houthi ke atas kapal-kapal dagang di kawasan tersebut.

“Gabungan kami bertindak tegas dan berkesan dengan menyerang sasaran ketenteraan Houthi selepas pasukan mereka menyasarkan kapal-kapal komersial di Laut Merah,” katanya sambil menambah operasi ketenteraan itu kini sudah selesai.

Houthi pula menuduh Riyadh melakukan peningkatan ketegangan yang berbahaya

Sumber keselamatan Yemen memberitahu AFP sebuah pangkalan tentera laut di pelabuhan Hodeidah dan sebuah kem tentera di Pulau Kamaran antara sasaran serangan Arab Saudi.

Awal minggu ini, Houthi mengaku bertanggungjawab me­nyerang dua kapal milik Arab Saudi, dengan Riyadh mengesahkan salah satu serangan itu berlaku di Laut Merah.

Peningkatan terbaharu kete­gangan di Asia Barat itu membuka satu lagi medan konflik dalam peperangan yang bermula selepas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Teheran pada Februari lalu. – AFP

The post Sistem pertahanan Greece pintas serangan Houthi di Arab Saudi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved