
Sistem Saman Baharu 2026: Bayar Cepat, Jimat Banyak
Mulai 1 Januari 2026, kerajaan Malaysia akan memperkenalkan satu sistem pembayaran saman trafik yang baharu dan lebih tersusun bagi menggantikan pendekatan lama yang bergantung kepada kempen diskaun bermusim.
Di bawah sistem ini, konsep “siapa cepat dia jimat” akan menjadi asas utama. Semakin awal anda menjelaskan saman, semakin besar kadar pengurangan yang akan diterima.
Langkah ini bukan sekadar untuk memperkemas urusan bayaran saman tetapi juga bertujuan menanam nilai tanggungjawab serta disiplin dalam kalangan pemandu di negara ini.
Selama bertahun-tahun, masyarakat sudah terbiasa menunggu kempen diskaun besar-besaran sebelum membayar saman. Malah ada yang sengaja menangguh bayaran kerana yakin akan ada promosi seterusnya.
Namun amalan ini bukan sahaja mengurangkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang malah akan menyebabkan kerajaan menanggung beban saman tertunggak yang tinggi. Melalui sistem baharu 2026, semua itu bakal berubah.
Tiada lagi penantian musim diskaun. Setiap individu kini mempunyai tanggungjawab peribadi untuk menjelaskan saman sebaik sahaja ia dikeluarkan.
Dengan berbuat demikian, mereka dapat menikmati potongan kadar kompaun yang telah ditetapkan. Pendekatan baharu ini dianggap lebih adil dan efisien kerana ia memberi ganjaran kepada pemandu yang bertindak pantas sambil memastikan proses kutipan hasil kerajaan lebih teratur.
Dalam masa yang sama, ia juga mendidik masyarakat agar lebih menghormati undang-undang jalan raya dan tidak mengambil mudah setiap kesalahan yang dilakukan.
Secara tidak langsung, sistem ini bukan sahaja membantu mengurangkan tunggakan saman. Ia juga menjadi langkah reformasi penting ke arah mewujudkan budaya pemanduan yang lebih beretika dan bertanggungjawab di Malaysia.
Kadar pengurangan saman mengikut tempoh bayaran (Mulai 2026)
Untuk memudahkan pemahaman, berikut ialah kadar pengurangan kompaun mengikut tempoh pembayaran yang ditetapkan di bawah sistem baharu ini:
Bayar dalam tempoh 1 – 15 hari: Nikmati pengurangan 50% daripada kadar saman asal.
Bayar dalam tempoh 16 – 30 hari: Dikenakan pengurangan 33%.
Bayar dalam tempoh 31 – 60 hari: Tiada potongan diberikan. Anda perlu membayar kadar penuh.
Selepas 60 hari: Saman akan dibawa ke tindakan mahkamah dan pemilik kenderaan boleh disenarai hitam oleh pihak berkuasa.
Pendekatan baharu ini dianggap lebih sistematik kerana ia menamatkan kebergantungan kepada kempen diskaun sementara.
Pemandu kini mempunyai tanggungjawab yang lebih jelas. Semakin cepat saman diselesaikan, semakin ringan beban yang perlu ditanggung.
Ia juga memberi kelebihan kepada mereka yang berdisiplin dan tidak menunggu hingga saat akhir. Dalam masa yang sama, sistem ini akan memudahkan pihak berkuasa memantau pembayaran saman.
Ia juga dapat mempercepatkan proses kutipan hasil kerajaan tanpa perlu menunggu musim promosi.
Menariknya, bagi memastikan peralihan ke sistem ini berjalan lancar, kerajaan akan memberikan satu tempoh khas dari 1 November hingga 30 Disember 2025 sebagai tempoh penyelarasan.
Dalam tempoh ini, semua orang awam berpeluang menikmati diskaun antara 50% hingga 70% untuk menjelaskan saman trafik tertunggak sebelum tahun baharu bermula.
Ini boleh dianggap sebagai peluang terakhir untuk melangsaikan semua tunggakan lama dengan kadar yang lebih rendah. Peraturan baharu akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2026.
Namun, perlu diingat bahawa tidak semua jenis kesalahan layak menerima pengurangan kompaun.
Beberapa kesalahan serius termasuk memandu tanpa insurans, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau menggunakan LKM palsu tergolong dalam kategori non-compoundable.
Iaitu kesalahan yang tidak boleh dikompaun dan perlu dibawa ke mahkamah. Langkah ini menunjukkan ketegasan kerajaan dalam memastikan keselamatan jalan raya dan integriti dokumen kenderaan sentiasa terpelihara.
Selain memudahkan urusan penguatkuasaan, sistem bayaran saman baharu ini juga diharap dapat membentuk budaya baharu dalam kalangan pemandu Malaysia.
Ia bukan sekadar soal membayar saman tetapi lebih kepada membina kesedaran bahawa setiap kesalahan di jalan raya mempunyai implikasi yang perlu dipertanggungjawabkan.
Dengan melunaskan saman lebih awal, anda bukan sahaja dapat menjimatkan wang malah turut membantu melancarkan proses pentadbiran dan pengurusan undang-undang negara.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan kaedah bayaran saman baharu 2026 ini merupakan satu langkah strategik ke arah transformasi sistem trafik yang lebih efisien dan berdisiplin.
Ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keselamatan jalan raya, mengurangkan tunggakan saman serta mendidik masyarakat untuk lebih peka terhadap undang-undang.
Dalam erti kata lain, sistem ini bukanlah sekadar soal bayaran semata-mata. Ia juga merupakan langkah untuk membina sikap bertanggungjawab supaya setiap pengguna jalan raya sedar bahawa patuh undang-undang bukan pilihan tetapi kewajipan.
Sumber : FB motmalaysia
The post Sistem Saman Baharu 2026: Bayar Cepat, Jimat Banyak appeared first on Siakap Keli.
