Sistem tenaga solar tingkat kualiti hidup komuniti Kampung Telinting

LocalTechnology
28 Jul 2026 • 11:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sistem tenaga solar tingkat kualiti hidup komuniti Kampung Telinting

TEKNOLOGI tenaga bersih bukan lagi penyelesaian kepada perubahan iklim semata-mata, sebaliknya terbukti mampu mengubah kehidupan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan kekurangan kemudahan asas.

Penggunaan sistem tenaga solar kini menjadi antara pendekatan paling berkesan dalam menyediakan bekalan elektrik yang stabil, menjimatkan kos dan mesra alam.

Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup komuniti yang selama ini bergantung kepada sumber tenaga yang terhad.

Keupayaan teknologi solar dapat dilihat menerusi pelaksanaan Projek Pembangunan Sistem Air Bersih dan Tenaga Solar di Kampung Telinting, Papar, Sabah hasil kerjasama RHB Islamic Bank dan Yayasan Ikhlas.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank, Datuk Adissakin Ali, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen institusi itu untuk mewujudkan impak sosial yang bermakna kepada komuniti memerlukan.

“Kami percaya pembangunan sesebuah komuniti bermula apabila keperluan asas masyarakat dapat dipenuhi. Sebab itulah akses kepada air bersih dan bekalan tenaga merupakan asas penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

“Projek di Kampung Telinting mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memperkasakan komuniti melalui penyediaan kemudahan asas yang memberi manfaat berkekalan.

“Usaha dilaksanakan ini juga menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang dapat membawa kebaikan, bukan sahaja di Kampung Telinting, malah di seluruh Sabah,” katanya.

Tambah Adissakin, projek bernilai RM300,000 itu memberi manfaat kepada kira-kira 130 penduduk daripada 30 isi rumah melalui penyediaan sistem bekalan air bersih serta kemudahan lampu solar.

Selain memenuhi keperluan asas penduduk, inisiatif itu membuktikan bahawa teknologi tenaga boleh diperbaharui mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan mampan di kawasan pedalaman.

Berbanding penggunaan penjana diesel yang memerlukan kos bahan api dan penyelenggaraan yang tinggi, sistem solar menawarkan penyelesaian lebih praktikal kerana memanfaatkan cahaya matahari sebagai sumber tenaga.

Image from: Sistem tenaga solar tingkat kualiti hidup komuniti Kampung Telinting
ADISSAKIN (enam dari kanan) hadir merasmikan Projek Pembangunan Sistem Air Bersih dan Tenaga Solar di Kampung Telinting, Papar, Sabah baru-baru ini.

Dengan pemasangan panel solar dan sistem penyimpanan tenaga, bekalan elektrik dapat digunakan untuk pencahayaan pada waktu malam serta menyokong operasi sistem air bersih tanpa bergantung sepenuhnya pada grid elektrik.

Pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon, malah memastikan komuniti menikmati bekalan tenaga yang lebih stabil dan berterusan.

Adissakin turut menegaskan bahawa RHB Islamic Bank akan terus menyokong pelbagai inisiatif pembangunan komuniti yang selari dengan aspirasi kemampanan sebagai tanggungjawab sosial korporat institusi berkenaan.

Pendekatan itu menunjukkan pelaburan dalam teknologi hijau bukan sekadar memenuhi agenda alam sekitar, malah turut memberi kesan langsung kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Ikhlas, Prof. Dr. Azmi Md. Nor berkata, kerjasama strategik antara organisasi kebajikan dan sektor korporat mampu menghasilkan impak yang besar kepada masyarakat.

“Yayasan Ikhlas amat menghargai komitmen dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh RHB Islamic Bank dalam membantu komuniti memerlukan.

“Projek ini membuktikan bahawa kerjasama strategik antara organisasi kebajikan dan sektor korporat mampu menghasilkan impak besar kepada masyarakat,” ujarnya.

Katanya lagi, dengan adanya sistem air bersih dan kemudahan tenaga solar, penduduk Kampung Telinting kini dapat menikmati kemudahan asas yang lebih baik serta peningkatan kualiti hidup menyeluruh.

Sehingga kini, Yayasan Ikhlas telah melaksanakan 19 Projek Pembangunan Sistem Air Bersih dan 19 Projek Tenaga Solar di kawasan pedalaman Sabah, Sarawak, Kelantan serta Kedah.

Rekod tersebut menunjukkan teknologi tenaga bersih semakin memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Malah, apabila digabungkan dengan penyediaan sistem air bersih, tenaga solar bukan sahaja menyelesaikan isu bekalan elektrik, malah turut menyokong kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.

Kejayaan projek di Kampung Telinting membuktikan bahawa teknologi tenaga bersih mampu menjadi pemacu pembangunan inklusif yang membawa manfaat jangka panjang kepada masyarakat serta menyokong agenda kemampanan negara.

The post Sistem tenaga solar tingkat kualiti hidup komuniti Kampung Telinting appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved