
KETIKA kebanyakan mahasiswa seusianya sibuk dengan kuliah, tugasan dan peperiksaan, Mohamad Afsyam Mohamad Fouzi, 22, memilih untuk melangkah lebih jauh dengan membina kerjaya dalam bidang reka bentuk industri serta mengusahakan perniagaan pembuatan perabot sendiri.
Lebih membanggakan, anak muda kelahiran Kuala Selangor, Selangor itu turut berjaya memperoleh pengiktirafan profesional Certified Industrial Designer (CiDe) daripada
Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) ketika masih bergelar mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Pencapaian tersebut menjadi antara detik paling bermakna buat anak bongsu daripada tiga beradik itu yang kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Industri dengan Kepujian selepas menamatkan pengajian diploma dalam bidang sama di UniSZA.
Menurut Afsyam, minatnya terhadap bidang reka bentuk bermula daripada kecenderungan menghasilkan sesuatu menggunakan kreativiti dan kemahiran tangan sendiri sebelum berkembang menjadi minat mendalam terhadap pembangunan produk.
“Saya tertarik melihat bagaimana sesuatu idea boleh diterjemahkan menjadi produk fizikal yang bukan sahaja menarik, tetapi mempunyai fungsi dan nilai kepada pengguna.
“Bagi saya, reka bentuk industri bukan sekadar menghasilkan produk yang cantik. Bidang ini turut melibatkan penyelesaian masalah, pemahaman terhadap keperluan manusia, teknologi pembuatan dan potensi perniagaan,” katanya kepada K-Kampus.
Minat tersebut akhirnya membuka laluan kepada jejaka ini untuk menceburi bidang keusahawanan menerusi penubuhan Afsyam Furniture Design, sebuah perniagaan yang memfokuskan reka bentuk dan pembuatan perabot serta kelengkapan dalaman.
Mengimbas kembali perjalanan awalnya, dia yang mesra disapa Afsyam berkata, penglibatan dalam industri perabot bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila dia berpeluang bekerja dalam bidang berkaitan selama kira-kira enam bulan.
Pengalaman tersebut memberinya keyakinan untuk memulakan perniagaan sendiri selepas melihat potensi permintaan terhadap perabot tempahan khas seperti kabinet dapur, almari pakaian dan panel televisyen.

Biarpun bermula dengan pengalaman serta sumber yang terhad, dia memilih untuk mengembangkan perniagaan secara berperingkat melalui projek yang diperoleh.
“Pada awalnya, saya hanya menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang ada.
“Saya belajar banyak perkara melalui pengalaman mengendalikan projek sebenar, termasuk memahami kehendak pelanggan, pemilihan bahan dan proses pembuatan.
“Saya percaya untuk memulakan perniagaan, kita bukan sahaja memerlukan modal kewangan, tetapi juga keberanian, kemahiran dan kesanggupan untuk bekerja keras,” ujarnya.
Hasil kesungguhan tersebut, Afsyam kini mempunyai pengalaman mengendalikan projek perabot melibatkan lebih 300 kediaman di seluruh Malaysia.
Bagaimanapun, di sebalik pencapaian itu, dia mengakui perjalanan sebagai usahawan muda tidak sentiasa indah kerana pernah berdepan cabaran kewangan, kos operasi serta kesukaran mengimbangi komitmen perniagaan dengan pengajian.
Menurutnya, jumlah jualan tinggi tidak semestinya menggambarkan kedudukan kewangan sesebuah perniagaan yang kukuh.
“Ada projek yang pada awalnya kelihatan menguntungkan, tetapi apabila berlaku kenaikan harga bahan, kerja tambahan atau kelewatan, keuntungan menjadi sangat kecil.
“Saya pernah melalui fasa yang mencabar sehingga perlu menilai semula keputusan dan hala tuju perniagaan.
“Daripada pengalaman itu, saya belajar kepentingan menguruskan aliran tunai, mengawal kos dan memilih projek dengan lebih teliti,” jelasnya.
Mengulas mengenai pengiktirafan CiDe yang diterima, Afsyam menyifatkan pencapaian itu bukan sekadar gelaran profesional, sebaliknya amanah untuk terus meningkatkan kualiti hasil kerja dan menjaga integriti sebagai seorang pereka.
Katanya, pengalaman mengendalikan projek perabot sebenar banyak membantu dirinya memahami keperluan industri yang tidak semestinya sama dengan pembelajaran di dalam bilik kuliah.
Tidak hanya menumpukan perhatian kepada perniagaan, Afsyam turut aktif menghasilkan inovasi termasuk membangunkan TerraNode Smart Eco-Bench, sebuah konsep perabot pintar yang menggabungkan kemudahan tempat duduk awam, pengecasan peranti, penggunaan tenaga solar serta elemen kelestarian.
Idea tersebut tercetus selepas dia melihat kebanyakan kemudahan tempat duduk awam, khususnya di kawasan universiti, masih mempunyai fungsi terhad berbanding keperluan masyarakat masa kini.
Inovasi berkenaan berjaya meraih dua pengiktirafan iaitu Best Presentation dan Best Prototype dalam pertandingan Makerpreneur.
“Saya mahu membuktikan bahawa reka bentuk perabot bukan hanya berkaitan aspek estetik, tetapi juga berupaya menyelesaikan masalah sebenar melalui gabungan teknologi, fungsi dan kelestarian.
“Harapan saya supaya inovasi seperti TerraNode tidak hanya berakhir sebagai projek akademik, sebaliknya dapat dikembangkan menjadi produk yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya yang turut menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Industrial Design Club (IDEC) UniSZA bagi sesi 2025/2026.
The post Siswa UniSZA pereka perabot 300 kediaman appeared first on Kosmo Online.

