
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti untuk menyita aset pesalah trafik bagi memastikan pampasan dapat dibayar kepada waris mangsa, terutama apabila individu yang disabitkan kesalahan tidak berkemampuan daripada segi kewangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu antara mekanisme yang sedang dikaji bagi memastikan waris mangsa kemalangan jalan raya mendapat pembelaan sewajarnya apabila mahkamah memerintahkan pembayaran pampasan.
Beliau berkata, kerajaan turut meneliti untuk mengenakan hukuman denda atau penjara lebih berat terhadap pesalah yang gagal membayar pampasan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan.
“Pertamanya kita memang mengambil kira bahawa sekiranya seseorang itu dijatuhkan hukuman, dia bersalah dan mahkamah memerintahkan dia membayar pampasan, apa berlaku sekiranya dia tak mampu untuk membayar pampasan.
“Menyokong peruntukan sedia ada dalam akta yang lain, kalau dia tak mampu bayar pampasan itu, mungkin ada hukuman denda ataupun hukuman penjara yang lebih lebih berat tambahan kepada hukuman yang sedia ada.
“Keduanya, kita juga sedang melihat sama ada sitaan terhadap aset pesalah itu boleh dibuat. Namun begitu, saya tak nak ada pre-judgement (penghakiman awal) sebab perkara ini masih dalam kajian kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) berkenaan mekanisme bagi memastikan waris mangsa terus mendapat pembelaan sekiranya pesalah tidak berkemampuan membayar pampasan.
Anthony berkata, kerajaan terbuka mendapatkan pandangan pakar pelbagai bidang termasuk pakar perundangan Islam.
“Berkenaan dengan cadangan untuk kita merujuk kepada pakar-pakar termasuk pakar-pakar Islam, keadilan Islam dan sebagainya, itu kita terbuka untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.
“Tetapi saya nak nyatakan bahawa apa yang kita nak laksanakan ini ialah di bawah berlandaskan undang-undang lazim (common law), iaitu terpakai kepada semua pihak, kepada semua orang, bukan sahaja kepada orang Islam tetapi prinsip ini saya lihat ialah satu prinsip universal (menyeluruh). – UTUSAN
The post Sita aset pesalah trafik untuk bayar pampasan appeared first on Utusan Malaysia.

