Siti menang Vokal Wanita Terbaik kali ke-14, Mimifly ‘kaut’ semua

EntertainmentMusic
27 Sep 2026 • 1:02 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Siti menang Vokal Wanita Terbaik kali ke-14, Mimifly ‘kaut’ semua

KUCHING – Penyanyi dan komposer, Mimifly muncul pemenang terbesar Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM 25) apabila membolot lima trofi pada malam kemuncak yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.

Lima kemenangan tersebut diraih menerusi kategori Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu menerusi Nara, Lagu Perayaan Terbaik dan Lagu Dengan Video Kreasi Terbanyak Di TikTok menerusi Serumpun serta Video Muzik Terbaik dan Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik menerusi Temberang.

Kejayaan tersebut sekali gus meletakkan Mimifly sebagai artis dengan jumlah kemenangan terbanyak pada edisi Jubli Perak AIM.

Tidak kurang hebat, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut menyerlah apabila membawa pulang empat trofi.

Siti memenangi kategori Vokal Wanita Terbaik menerusi Kesuma, Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Pesanan Buat Diri serta Kolaborasi Terbaik Oleh Artis Tempatan Dan Artis/Penggubah Antarabangsa menerusi Cenderamaya.

Sebelum malam kemuncak, penyanyi tersohor itu mendominasi senarai pencalonan AIM 25 dengan 14 pencalonan termasuk Album Terbaik menerusi album tradisional, Gema Bumantara.

Sementara itu, Aisha Retno turut mencuri tumpuan apabila membawa pulang tiga trofi termasuk Album Terbaik menerusi [RE:HAB].

Album sama turut memenangi kategori Rakaman Album Terbaik, manakala sebuah lagi trofi diraih Aisha menerusi O.R.B.I.T bagi kategori Lagu Tempatan Bahasa Inggeris Terbaik.

Image from: Siti menang Vokal Wanita Terbaik kali ke-14, Mimifly ‘kaut’ semua
Aisha Retno mencuri tumpuan apabila membawa pulang tiga trofi termasuk Album Terbaik menerusi [RE:HAB].
Kemenangan Album Terbaik menyaksikan Aisha, 26, mengenepikan empat pencabar lain iaitu Sa25 nyanyian Shila Amzah, Album: Lelaki Gila oleh Naim Daniel dan Adnin Roslan, Gema Bumantara (Siti Nurhaliza) serta Jati Diri (Faizal Tahir dan Let Zapin).

Kejayaan tersebut turut melayakkan Aisha menerima wang tunai RM200,000 menerusi Dana Kandungan Digital (DKK) Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.

Dalam kategori tumpuan lain, penyanyi baharu Arddley Nicholas mencipta kejutan apabila dinobatkan sebagai pemenang Vokal Lelaki Terbaik menerusi Sandiwara Cinta.

Kemenangan itu menyaksikan Arddley mengenepikan saingan Hazama, Pasya, Ryenald Guntabid dan Syamel.

Kategori Artis Baharu Terbaik pula menjadi milik Alpha menerusi Mona Lisa, manakala Inteam membawa pulang trofi Vokal Kumpulan Terbaik menerusi Satukan Kami Di Syurga.

Marsha Milan turut melakar sejarah peribadi apabila meraih trofi AIM pertamanya menerusi kategori Lagu Etnik Terbaik menerusi Pelangi Pasti ciptaan Amir Jahari.

Hazama juga akhirnya merasai nikmat kemenangan di pentas AIM apabila buat pertama kali membawa pulang trofi menerusi kategori Lagu Tema Terbaik Dalam Filem/Drama bagi Aku Bukan Narsisis.

Dalam pada itu, Ratu Rock negara, Ella Aminuddin menerima Anugerah Sri Wirama sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta pencapaiannya sepanjang berkecimpung dalam industri muzik tanah air.

Image from: Siti menang Vokal Wanita Terbaik kali ke-14, Mimifly ‘kaut’ semua
Ratu Rock Negara, Ella menerima Anugerah Sri Wirama sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta pencapaiannya sepanjang berkecimpung dalam industri muzik tanah air.

Malam kemuncak yang dikendalikan pasangan selebriti, Awal Ashaari dan Scha Alyahya itu turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

AIM 25 yang disiarkan secara langsung menerusi TVS mencipta sejarah apabila buat pertama kali dianjurkan di Sarawak bersempena sambutan Jubli Perak anugerah berprestij tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post Siti menang Vokal Wanita Terbaik kali ke-14, Mimifly ‘kaut’ semua appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved