Siti Nurhaliza Dikerumuni di Pusat Undi, Warganet Syak Ada Yang Minta Nyanyi

19 Nov 2022 • 8:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar dari Instagram Siti Nurhaliza

Kalau sudah bergelar penyanyi nombor satu negara, sudah tentulah kehadirannya akan selalu mencuri perhatian.

Itulah yang berlaku apabila berpusu-pusu peminat mula mendekati Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut sama-sama menjalankan tanggungjawab membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Alam Damai, Cheras hari ini.

Melalui perkongsian video berdurasi 10 saat di laman Twitter menunjukkan Siti yang berbusana hitam dan memakai pelitup muka bertegur sapa dan bermesra dengan peminatnya.

Pelantun lagu Biarlah Rahsia itu  juga tidak keberatan memenuhi permintaan pegawai polis yang bertugas untuk bergambar.

Ternyata ramai yang cemburu dengan peminat yang boleh bersua muka dengan penyanyi tersohor negara itu.

image is not available
Siti dikerumuni oleh orang ramai. - Gambar dari Twitter Brie

“Ini tidak adil!,” luah satu pengguna.

“Kenangan manis GE15, abang polis terbaik jaga diva sebenar kita,” tulis satu komen.

“Ada yang minta dia nyanyi tak waktu berates? Manalah tahu korang jamming sama-sama. Cemburunya,” kata komen yang lain.

Mengintai laman sosial penyanyi itu, Siti turut berkongsi pengalamannya membuang undi dalam video kurang seminit menerusi laman Instagram rasminya.

“Semoga Allah berikan pemimpin yang amanah dan berwibawa serta menjaga rakyat dengan baik,” doa Siti di dalam kapsyennya. - Getaran, 19 November 2022