Siti Nurhaliza Terharu Anwar Ibrahim Puji Lagu Nyanyiannya Untuk Filem ‘Anwar: The Untold Story’

Music
9 May 2023 • 4:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Siti Nurhaliza - Gambar Instagram

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa terharu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji lagu nyanyiannya untuk runut bunyi filem Anwar: The Untold Story.

Siti ketika ditemui usai majlis tayangan perdana filem berkenaan di ibu kota berkata, dia sendiri tidak menyangka akan ditawarkan untuk menyanyikan lagu tema bagi filem ini yang berjudul 'Menjaga Cintamu' hasil ciptaan Andi Rianto dan Sekar Ayu Asmara.

image is not available
Siti turut ditemani suaminya, Datuk K ke majlis tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story. - Gambar Instagram

“Saya sangat bersyukur apabila Perdana Menteri kita sendiri puji dan berpuas hati dengan lagu ini. Saya segan sebenarnya. 

“Ketika merakamkan lagu ini, keadaan saya tidak berapa sihat. Suara saya lebih serak daripada sekarang. Tetapi saya cuba berikan yang terbaik. 

“Alhamdulillah, pencipta lagu ini iaitu Andi Rianto sangat gembira dengan hasilnya walaupun saya rasa saya boleh buat dengan lebih baik. Andi suka suara saya ketika itu kerana kedengaran seperti merintih. Kena dengan emosi yang dia mahukan untuk lagu ini,” katanya.  

Kongsi Siti lagi, bagi menghayati lagu ini, dia meminta untuk menonton filem ini terlebih dahulu sebelum masuk ke studio rakaman. 

“Selepas saya tonton filem ini, barulah saya dapat mendalami emosi Datuk Seri Dr Wan Azizah yang merupakan seorang isteri yang banyak bersabar dan menahan perasaan untuk mencapai tahap seperti sekarang,” ujarnya yang akan turut memuatkan lagu ini di dalam album terbarunya nanti.

image is not available
Siti Nurhaliza bersama komposer lagu Andi Rianto (kanan) dan penulis lirik, Sekar Ayu Asmara (kiri). - Gambar Instagram

Bagi Andi Rianto pula, dia sangat berbangga apabila dapat berkolaborasi bersama Siti untuk menghasilkan lagu ini. 

“Impian saya untuk menulis lagu buat Siti akhirnya tercapai. Saya mengenali beliau sebagai seorang penyanyi yang hebat. Beliau sangat mengagumkan sewaktu berada di dalam studio. Dia menyanyikan lagu ini dengan sangat indah dan hanya dalam masa satu jam sahaja,” katanya. 

Terdahulu sewaktu sesi sidang media bersama Anwar, beliau memuji kehebatan lagu serta persembahan Siti menyampaikan lagu ini dengan berkesan.

“Lagu tema nyanyian Siti Nurhaliza sangat ‘powerful’. Lirik, lagu dan persembahannya sangat luar biasa. Ia sangat menyentuh perasaan. Walaupun saya baru dengar hanya secebis, tetapi ia merupakan lagu yang sangat mengesankan,” katanya.

image is not available
Anwar ketika berucap pada sidang media tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story. - Gambar Instagram

Filem Anwar:The Untold Story terbitan Bianglala Entertainment telah diarahkan oleh sutradara dari Indonesia iaitu Viva Westi menampilkan Farid Kamil sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim, Acha Septriasa sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Hasnul Rahmat sebagai Tun Dr. Mahathir. 

Filem ini akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 18 Mei 2023. – Getaran, 9 Mei 2023