'Situasi sangat menggerunkan' - Marc Syahmie kongsi pengalaman berlakon dalam peti mayat

Entertainment
9 May 2026 • 3:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Situasi sangat menggerunkan' - Marc Syahmie kongsi pengalaman berlakon dalam peti mayat
March Syamie bersama Cik Puan Sarimah yang memegang watak sebagai ibunya dalam "Bila Cinta Menjadi Dosa".
Image from: 'Situasi sangat menggerunkan' - Marc Syahmie kongsi pengalaman berlakon dalam peti mayat
Marc Syahmie bersama Che Puan Sarimah dan Siti Elizad.

PELAKON Marc Syahmie mendedahkan berdepan pengalaman paling mendebarkan sepanjang bergelar pelakon apabila perlu menjalani penggambaran dalam peti mayat sebenar bagi drama "Bila Cinta Menjadi Dosa".

Menurut Syahmie yang memegang watak Amar, pada mulanya dirinya agak terkejut apabila dimaklumkan produksi menggunakan peti mayat sebenar milik hospital dan bukannya prop penggambaran.

“Bila mula-mula dapat tahu ada babak dalam peti mayat, saya memang berdebar. Tambah saya diberitahu, sehari sebelum penggambaran peti mayat itu memang ada digunakan untuk mayat sebenar.

“Saya bukan takut sebab ia peti mayat, tetapi kelemahan saya dari kecil memang takut tempat sempit dan gelap. Keadaan itu akan menyebabkan saya sesak nafas secara tiba-tiba,” katanya.

Tambah pelakon berusia 26 tahun itu, situasi berkenaan menjadi lebih mencabar apabila dia perlu dimasukkan ke dalam beg plastik mayat sebelum diletakkan di dalam peti mayat.

“Situasi memang sangat menggerunkan untuk saya. Saya dimasukkan dalam beg plastik mayat warna putih, kena zip, kemudian diletakkan dalam peti mayat dan pintu ditutup.

“Bayangkan beberapa minit saya duduk seorang diri dalam keadaan sejuk, sempit dan gelap. Masa itu saya betul-betul rasa seperti mayat,” ujarnya.

Walaupun berdepan ketakutan, Syahmie berkata dia cuba mencabar diri demi memberikan komitmen terbaik sebagai pelakon.

“Saya kena kawal pernafasan dan tenangkan diri. Ingatkan babak itu mudah, tetapi sebenarnya perlukan keberanian dan kekuatan mental juga.

“Alhamdulillah, saya berjaya lakukan. Ini pengalaman baharu untuk saya sebagai pelakon dan bukan semua orang dapat rasa pengalaman seperti ini,” katanya lagi.

Menurutnya, babak tersebut turut meninggalkan kesan mendalam sehingga membuatkan dia lebih menghargai kehidupan.

**media[3515329]**

“Sejujurnya banyak saya belajar dan insaf. Masa berlakon jadi mayat itu, terdetik juga dalam hati, kalau suatu hari nanti saya sudah tiada, mungkin beginilah keadaannya.

“Dalam peti itu saya banyak berselawat dan berzikir. Situasi memang sangat real. Bila saya dikeluarkan dan dengar pelakon lain menangis, walaupun mata terpejam saya boleh rasa suasana itu macam betul-betul berlaku meski sekadar lakonan,” katanya.

Ditanya mengenai soal ‘badi’, Syahmie bagaimanapun memaklumkan sepanjang penggambaran semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kejadian pelik.

“Setakat ini tiada apa-apa berlaku. Cuma pihak produksi ada nasihatkan saya mandi dan bersihkan diri untuk elak benda tidak baik ikut, tetapi semua okay,” jelasnya.

Apa yang lebih mencabar, ujar Syahmie, dia perlu keluar masuk peti mayat itu beberapa kali bagi mendapatkan sudut penggambaran terbaik.

“Bukan sekali ya, banyak kali juga saya keluar masuk dalam itu. Tetapi saya bersyukur sebab akhirnya dapat atasi ketakutan yang saya ada sejak kecil,” katanya.

Dalam drama tersebut, Syahmie bergandingan dengan Che Puan Sarimah Ibrahim yang memegang watak sebagai ibunya.

Drama 30 episod yang bersiaran di slot Lestary, TV3 itu bakal melabuhkan tirainya pada Sabtu.

Selain Syahmie dan Sarimah, karya tersebut turut dibintangi Zamarul Hisham, Jasmin Hamid, Siti Elizad, Alya Iman, Zairi Aziz, Nelissa Nizam dan Maria Farida.

View Original Article