Situasi terkini Tun M: Fahmi ingatkan pencipta kandungan, pempengaruh jaga adab

LocalPolitics
3 Oct 2026 • 12:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Situasi terkini Tun M: Fahmi ingatkan pencipta kandungan, pempengaruh jaga adab
Fahmi mengingatkan pencipta kandungan, pempengaruh dan pengguna media sosial perlu mengutamakan adab, pertimbangan dan sifat kemanusiaan ketika menghasilkan kandungan terutama berhubung situasi terkini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Pencipta kandungan, pempengaruh dan pengguna media sosial perlu mengutamakan adab, pertimbangan dan sifat kemanusiaan, ketika menghasilkan kandungan terutama berhubung situasi terkini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, walaupun ramai yang ingin mengetahui perkembangan dan keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu, namun tidak semua perkara perlu dijadikan bahan berita atau kandungan media sosial.

"Kita faham ramai yang nak tahu perkembangan terkini termasuk keadaan kesihatan Tun Dr Mahathir tapi sebenarnya tak semua benda perlu dikejar, lebih-lebih lagi untuk buat berita atau content.

"Teknologi boleh berubah, kita boleh berbeza pandangan tapi janganlah guna media sosial sampai kita hilang adab, moral dan sifat kemanusiaan,” katanya menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di platform X malam ini.

Sehubungan dengan itu, Fahmi menggesa semua pihak agar memberikan ruang dan masa kepada Tun Dr Mahathir serta keluarga beliau, yang masih berduka atas pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali.

Beliau berkata, anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini telah membuat permintaan untuk memberikan ruang dan privasi kepada ahli keluarganya yang sedang berduka.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan pengguna media sosial agar tidak menyebarkan sebarang kandungan spekulatif, kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang tidak sensitif atau sebarang kenyataan yang tidak sepatutnya.

"Dan kalau kita terjumpa kandungan yang mengaibkan, yang menggunakan AI yang tak sensitif atau sampai mendoakan benda-benda yang bukan-bukan, jangan share, jangan komen dekat post tu, jangan bagi views.  

"Kalau nampak content macam ni, terus lapor kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau polis,” katanya.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved