Sivakumar: Kajian semula perintah gaji minimum ambil kira indikator sosioekonomi

2 Nov 2023 • 9:12 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Satu langkah intervensi pasaran buruh perlu dilaksanakan dengan memfokuskan pekerja bergaji pertengahan yang terhimpit seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Kewangan dalam tinjauan Ekonomi 2024, kata Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar (gambar).

Beliau berkata pada masa ini data menunjukkan pekerja separuh mahir menerima gaji hampir sama dengan pekerja berkemahiran rendah.

“Berdasarkan Survei Gaji dan Upah 2022, gaji penengah bulanan pekerja separuh mahir adalah RM1,817 berbanding RM1,635 bagi pekerja berkemahiran rendah,” katanya menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tahun lepas menunjukkan komposisi pekerja separuh mahir adalah paling tinggi iaitu 58 peratus manakala 30 peratus adalah pekerja mahir dan selebihnya 12 peratus pekerja berkemahiran rendah daripada keseluruhan 15.4 juta pekerja.

Mengenai gaji minimum, Sivakumar berkata fasa pelaksanaan kajian semula perintah gaji minimum kini 70 peratus siap dengan mengambil kira indikator sosioekonomi seperti Pendapatan Garis Kemiskinan, penengah gaji yang menggambarkan keupayaan majikan untuk membayar gaji, kadar pengangguran, produktiviti buruh dan perubahan Indeks Harga Pengguna yang mencerminkan kos sara hidup.

Kajian yang dijalankan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) itu penting dalam usaha memastikan pelarasan perintah gaji minimum yang dibuat adalah bersifat dasar berasaskan bukti, katanya.

Sivakumar berkata melihat pada data yang dikeluarkan DOSM pada tahun 2022, pendapatan bergaji rakyat meningkat kepada 62.8 peratus kerana disumbangkan oleh peningkatan dalam gaji minimum pada tahun itu.

Selain itu, beliau berkata Dasar Gaji Progresif turut akan dilaksanakan sebagai pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum dan Sistem Upah Yang Dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS) yang memastikan sebarang kenaikan upah selaras dengan peningkatan produktiviti atau prestasi yang lebih tinggi.

“Setakat September 2023, sebanyak 98,119 majikan telah melaksanakan PLWS dan memanfaatkan 5.9 juta orang pekerja dalam pelbagai peringkat pekerjaan termasuk pekerja separuh mahir,” katanya.

Sementara itu, Sivakumar berkata kementerian menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad komited menggalakkan pekerja untuk terus meningkatkan asas pengetahuan melalui latihan kemahiran berasaskan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata sehingga 30 Sept tahun ini, sebanyak 258,862 tempat latihan diluluskan bagi melaksanakan latihan melibatkan peruntukan berjumlah RM124.04 juta.

“Selain itu, Pembangunan Sumber Manusia Berhad turut menawarkan pembelajaran secara dalam talian melalui platform e-LATIH. Setakat 30 Sept tahun ini, sebanyak 1,900 kursus ditawarkan secara percuma yang melibatkan 350,000 pendaftaran bagi mengikuti kursus-kursus itu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ketika sesi penggulungan perbahasan itu bagi Kementerian Kesihatan (KKM) berkata kementerian itu sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk membatalkan moratorium pembekuan pembukaan kolej kejururawatan swasta yang baharu.

Beliau berkata langkah itu antara usaha meningkatkan pengeluaran jururawat tempatan dan menambah sumber manusia di fasiliti kesihatan sekali gus mengatasi isu kekurangan petugas kesihatan.

“Jururawat di fasiliti kesihatan KKM kebanyakannya adalah keluaran daripada ILKKM ( Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia) dan serap terus ke KKM...kita juga melihat pada masa hadapan untuk mendapatkan sumber manusia (jururawat) dari IPTA (institusi pengajian tinggi awam) dan IPTS (institusi pengajian tinggi swasta).

Usaha lain termasuk meningkatkan jumlah pengambilan pelatih diploma kejururawatan tajaan KKM daripada 1,000 kepada 2,000 setiap setahun,” katanya.

Selain itu katanya KKM juga terbuka untuk meneliti cadangan bagi menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas jururawat yang berpencen serta pakar-pakar kesihatan untuk kembali berkhidmat di fasiliti kesihatan awam.

Mengenai isu kewajaran pengambilan jururawat terlatih warga asing (JTWA) di fasiliti kesihatan swasta, Dr Zaliha berkata KKM bersetuju untuk memberi kelonggaran bersyarat iaitu pengambilan JTWA selama 12 bulan mulai 1 Okt 2023 hingga 30 Sept 2024 dan perkhidmatan mereka boleh dilanjutkan sehingga 12 bulan lagi berdasarkan kelulusan perakuan pengamalan sementara (TPC).

Beliau berkata peluang itu dibuka untuk membantu meningkatkan kapasiti dan mengoptimumkan perkhidmatan kesihatan swasta sekali gus ia dapat menyokong jalinan kerjasama awam-swasta dalam sektor kesihatan negara. -Bernama

View Original Article