Sivasangari Stabil, Ambil Masa 3 Bulan Untuk Pulih - Ahmad Faizal

27 Jun 2022 • 6:54 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Faizal melawat Sivasangari di Hospital Putrajaya selepas pemain skuasy wanita negara itu terlibat dalam kemalangan pada awal pagi Ahad. - Gambar oleh Syeda Imran

PUTRAJAYA - Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari yang terlibat dalam kemalangan kereta pada awal pagi Ahad, kini berada dalam keadaan stabil setelah diberikan rawatan rapi di Hospital Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang melawat Sivasangari pada petang ini, memaklumkan atlet berusia 23 tahun itu dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum dapat kembali ke gelanggang.

image is not available
Ahmad Faizal Azumu - Gambar oleh Syeda Imran

Beliau berkata atlet kelahiran Kedah itu, yang juga merupakan pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Komanwel 2022 Birmingham, tidak dapat menyertai temasya berkenaan yang dijadual bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

“Status Siva (Sivasangari), dia sedar dan Alhamdulillah saya sempat berikan kata-kata perangsang dan sokongan kepada beliau…ibu bapanya juga berfikiran positif dan riak wajah Siva juga positif. Gembira beliau ada semangat yang begitu kental.

“Apabila saya mengetahui tentang ini, saya sangat bimbang, tapi apabila saya berbincang dengan pakar perubatan dan doktor yang begitu cekap merawat, mereka berkata keseriusan kecederaannya boleh sembuh, jadi saya rasa lega,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Sivasangari. - Bernama